Seorang pembantu kedai makan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Kulai, Johor hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan mengambil dan membuang patung hiasan pada pancutan air di sebuah rumah ke dalam tong sampah.
Mengaku pernah buang & bakar patung lain
Tangkap layar video viral
Hukuman itu dijatuhkan Majistret, Sharifah Maleeha Syed Hussin, terhadap tertuduh, Gabriele Jungkak Anak Steward, 23 tahun yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya. Majistret turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, pemuda itu didakwa melakukan khianat dengan mengambil patung hiasan pancutan air milik seorang lelaki berusia 33 tahun yang bersambung dengan paip kecil sehingga tercabut dan rosak sebelum membuangnya ke dalam tong sampah, menyebabkan kerugian bernilai RM25.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela dalam rayuannya, berkata dia bertindak membuang patung hiasan itu kerana mengganggunya, selain mendakwa pernah membuang serta membakar patung lain di kawasan lain. Dia kemudian dinasihatkan supaya tidak mensia-siakan hidupnya dan belajar hidup berjiran.
Terdahulu, media melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai bertindak membuang patung kepercayaan masyarakat Hindu dalam satu kejadian di Taman Scientex, Senai, selepas video memaparkan perbuatan lelaki itu tular di media sosial.
Sumber: Berita Harian