Selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi terkenal Indonesia iaitu Tegar Septian mengumumkan sudah berpisah dengan isteri tercinta, Sarah Sheilka Kamilia.
‘Saya pilih mulakan hidup baru’
Pelantun lagu ‘Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang’ ini tidak mendedahkan kepada umum mengenai punca perceraiannya bagaimanapun akui terlalu banyak masalah dilaluinya dan sukar untuk dijelaskan satu persatu. Selain mengeluh sudah terlalu ‘penat’, penyanyi berusia 21 tahun ini turut memohon maaf dan mengakui bahawa dirinya bukanlah seorang manusia yang sempurna.
Fakta bahawa saya sudah bercerai adalah benar, sekarang saya mahu teruskan soal kerjaya.
Menerusi perkongsian di IG Story, Tegar juga akui bahawa dirinya kini dibelenggu dengan masalah kewangan. Dia juga memaklumkan mengalami depresi kerana tidak mempunyai pekerjaan sehingga menyebabkan berat badannya semakin susut.
Saya terlalu penat dan tidak mahu mengulanginya lagi. Saya bukan manusia sempurna, pening kepala dan stres fikirkan banyak perkara. Di Instagram memang romantik tetapi sebaliknya anda tidak tahu. Saya memilih untuk memulakan hidup baru, bermula dari kosong.
Bekas isteri dakwa Tegar suka pinjam duit?
Sementara di IG Story bekas isteri Tegar, Sarah Sheilka Kamilia mendedahkan sikap bekas suaminya yang dikatakan sering meminjam wang daripada orang terdekat untuk membayar kos rumah dan sebagainya. Bukan itu sahaja, Tegar juga dikatakan menggunakan nama isteri dan anaknya untuk meminjam wang sedangkan mereka sekeluarga masih mempunyai wang simpanan dan ianya mencukupi untuk kegunaan harian.
Usai berpisah, wang tabungan tersebut telah dibahagi sama rata dan Sarah memaklumkan sudah tidak mahu bertanggungjawab jika ada sesiapa yang bertanya perihal Tegar selepas ini termasuk tindakan bekas suaminya yang meminjam wang dengan alasan melibatkan ahli keluarga.
Sebagai rekod, Tegar Septian dan Sarah Sheilka Kamilia telah mendirikan rumah tangga pada Mac 2020 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Abidzar Oktaviano Putra Septian yang kini berusia dua tahun.
Sumber: Suara.com, Insertlive, Instagram Sarah Sheilka Kamilia, Instagram Tegar Septian