Pelakon Zul Ariffin mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen pagi tadi (Selasa), atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang di media sosial pada Mac lalu.
Manusia tak lari dari kesilapan
Memetik laporan Harian Metro, Zul, 37, berkata dia dengan rela hati mengambil tanggungjawab untuk mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Menurut pemilik nama Zulkifli Ariffin, dia berharap agar kes yang menimpanya dapat dijadikan pengajaran kepada pelakon lain sebelum ingin membuat sebarang promosi untuk setiap karya terbaharu.
Tiada tindakan sebab orang lain yang terbabit semuanya ‘malaikat’, saya seorang saja tidak. Jadi, saya sajalah yang mengaku bersalah. Tidak mengapa.
Kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Disebabkan itu, jadikan kes ini sebagai pengajaran kepada semua orang di luar sana termasuk pelakon. Kalau disuruh muat naik apa-apa kandungan, tidak perlulah beriya-iya sangat. Betul tak?
Kalau disuruh juga untuk tujuan promosi, tolong berhati-hati dan jadikan saya sebagai contoh. Muat naik gambar ‘selfie’ pun sudah memadai. Tak rugi apa pun.
Syukur dapat sokongan
Dalam pada itu, pelakon filem Penunggang Agama, memilih untuk tidak memanjangkan kes ini dan mengaku bersalah dan berharap perkara ini berakhir di sini selain enggan membazir masa mana-mana pihak.
Saya lega dengan keputusan ini. Walaupun saya tak pernah berdepan dengan situasi ini iaitu terbabit dengan kes besar di mahkamah, tapi dengan nasihat peguam dan sokongan daripada rakan-rakan yang hadir saya sangat terharu.
Saya ingatkan tiada yang akan datang beri sokongan tapi Alhamdulillah ramai yang hadir termasuk rakan media. Saya enggan bazir masa mahkamah atau sesiapa. Jadi saya memilih mengaku bersalah kerana saya yang memuat naik video terbabit.
Jika tidak, perkara ini akan terus berlanjutan dan saya tak nak hidup dengan rasa yang begitu. Jadi langkah terbaik saya anggap ini kesalahan atas kelakuan saya selain rasa bersalah kepada Allah.
Terdahulu, Zul membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.
Mengikut pertuduhan, Zul yang menggunakan Instagram bernama @zul_ariffin secara sedar membuat dan memulakan penghantara video yang bersifat sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Sumber: Harian Metro