
Pelakon, Mierul Aiman menyifatkan produk buatan Malaysia kini mampu bersaing dengan jenama antarabangsa, sekali gus menyokong usaha menggalakkan rakyat mengutamakan barangan keluaran tempatan.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Zarif Ghazzi Turun 21KG Demi Filem Kudrat 1968 – ‘Makan Sehari Sekali & Jogging 15KM’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Mierul Aiman Tak Anggap Barisan Pelakon Sebagai Pesaing – ‘Ini Bukan Permainan Solo, Tapi Sebuah Pasukan’
Sokong lokal

Mierul atau nama lengkapnya Mohammad Amirul Aiman Norazman, 28, berkata, dia sendiri turut menggunakan produk tempatan dan berbangga melihat semakin ramai rakyat Malaysia, khususnya golongan muda, mula memberikan sokongan kepada jenama tempatan.
Bagi saya, kualiti produk tempatan kini setanding produk dan barangan antarabangsa. Saya sendiri banyak menggunakan produk tempatan.
Saya suka melihat apabila ramai mula membuka mata dan menyokong produk tempatan, terutamanya dalam kalangan golongan muda.
Saya harap industri yang membabitkan pengeluaran produk tempatan akan terus berkembang dan maju.
Mierul berkata demikian ketika ditemui pada majlis Meet & Greet Mierul Aiman x Dr. Cardin, di IOI Putrajaya, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mierul berkata, masyarakat tidak seharusnya berasa malu untuk menggunakan barangan keluaran negara sendiri, apatah lagi apabila kualitinya terbukti mampu memenuhi keperluan pengguna.
Berkongsi pengalamannya menggunakan produk tempatan, Mierul berkata, dia semakin yakin dengan kualiti barangan buatan Malaysia selepas terlibat dalam sebuah projek bersama Dr. Cardin.
Saya sendiri jatuh cinta dengan produk tempatan. Seperti baru-baru ini saya terlibat dengan satu projek bersama jenama Dr. Cardin. Kami pergi ke Dabong, Kelantan untuk melakukan aktiviti lasak di sana dan dirakamkan menjadi sebuah dokumentari.
Sepanjang dua hari di sana, saya pakai kasut dan beg daripada jenama ini dan saya boleh katakan kualitinya sangat bagus. Walaupun saya lakukan pelbagai aktiviti lasak seperti masuk air terjun, panjat bukit dan meredah gua, tetapi barang yang saya pakai masih baik.
Mierul menyatakan perkata itu rentetan kempen mengutamakan produk buatan Malaysia yang semakin rancak diperkatakan dalam media sosial susulan ketegangan antara netizen Malaysia dan Indonesia sejak kebelakangan ini.
Isu berkenaan turut menjadi perhatian selepas sebuah jenama dari Indonesia didakwa mempersendakan Malaysia menerusi hantaran di akaun rasmi media sosialnya.
Situasi itu mendorong netizen menggesa orang ramai memboikot jenama berkenaan, selain mengalihkan sokongan kepada produk tempatan sebagai usaha memperkasakan industri dan perniagaan anak Malaysia.
Sementara itu, jenama Dr. Cardin memperkenalkan kempen The Overlooked Malaysia bagi mempromosikan keindahan destinasi pelancongan tempatan menerusi filem pendek, dokumentari pengembaraan dan siaran langsung bersama selebriti serta pempengaruh.
Kempen itu menjelajah Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, termasuk ekspedisi ke Dabong, Kelantan bersama Mierul Aiman. Ia turut mendapat sambutan positif dan berpotensi diteruskan ke Sabah serta Sarawak.








