Platform penstriman, iQIYI kembali dengan buah tangan terbaharu iaitu sebuah drama bersiri istimewa berjudul ‘Mihrab Cinta Zulaikha’.
Artikel Berkaitan: Nak Tukar Angin Dari K-Drama? Jom Layan C-Drama Pula, Wajib Tengok Fox Spirit Matchmaker!
Artikel Berkaitan: Konflik Bakal Berakhir, Siapakah Pilihan Ardini Dalam Drama Wanita Syurga?
‘Mihrab Cinta Zulaikha’
Menurut Pengurus Besar iQIYI Malaysia dan Singapura, Jony Deng, ‘Mihrab Cinta Zulaikha’ sebuah drama yang bersesuaian mengikut permintaan penonton masa kini dan sejajar dengan trend isu-isu semasa.
Drama ini diinspirasikan dari kejadian dan konflik sebenar dalam masyarakat kita yang menonjolkan kisah percintaan dan juga kekuatan dari segi moral.
Selain itu, idea di sebalik penghasilan drama ini datangnya dari keinginan untuk meneroka tema-tema yang melibatkan keimanan, percintaan dan pengorbanan yang sering terjadi dalam masyarakat Malaysia.
Tambah Jony Deng, ‘Mihrab Cinta Zulaikha’ serta drama original terbitan iQIYI yang lain amat mementingkan mutu penghasilan, jalan cerita yang menarik dan pemilihan pelakon-pelakon yang tepat.
Pemilihan pelakon adalah berdasarkan kesesuaian karakter yang dibawakan dalam drama serta kemampuan mereka untuk menarik perhatian penonton.
Selain memiliki bakat lakonan yang hebat dalam menghidupkan sesebuah karakter, setiap pelakon mempunyai daya tarikan tersendiri yang membuatkan mereka unik.
Drama ini boleh ditonton oleh penonton yang berumur 18 tahun ke atas, manakala penonton di bawah umur 18 tahun tidak digalakkan untuk menonton disebabkan dasar konsep drama yang mendalam serta jalan cerita matang.
‘Mihrab Cinta Zulaikha’ dibintangi barisan pelakon handalan tanah air seperti Elisya Sandha, Azrel Ismail, Scha Elinnea, Johan As’ari, Arash Mohamad, Maria Farida dan Raf Iskandar.
Drama mengisahkan tentang Zulaikha (Elisya Sandha), seorang wanita yang tabah, berdikari serta berpegang teguh pada ajaran agama yang bertanggungjawab menguruskan rumah anak yatim namun berdepan masalah kewangan apabila ujian datang menimpa.
Kemunculan Yusof Hakimi (Azrel Ismail) sebagai penyelamat dalam membantu menyelesaikan segala permasalahan di rumah anak yatim membawa kepada lamaran oleh Yusof terhadap Zulaikha.
Drama bersiri sebanyak 12 episod ini sudah pun menemui pelanggan iQIYI bermula 17 Mei lalu, jam 9:00 malam.