Pempengaruh media sosial Indonesia, Mimi Peri meluahkan rasa terujanya ketika menjejakkan kakinya buat pertama kali ke Malaysia.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Fizz Fairuz Sambut Kedatangan Mimi Peri Ke Kuala Lumpur
Terkejut ada yang kenal
Ketika ditemui OhBulan!, Mimi atau nama sebenarnya Ahmad Jaelani memaklumkan dia berasa sangat terkejut dengan penerimaan yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepadanya sehinggakan ramai yang menyerbu untuk mengambil swafoto bersamanya.
Ini kerana, pempengaruh berusia 35 tahun itu tidak menyangka dirinya mempunyai sebilangan peminat di Malaysia.
Saya diserbu sewaktu berkunjung ke Menara Berkembar Petronas. Ramai yang meminta untuk mengambil gambar, ketika saya di pusat membeli belah juga ramai yang mengenali saya.
Jadi, saya begitu terkejut kerana selama ini saya tidak pernah ke mana-mana selain di kampung sendiri sahaja.
Mimi berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada malam gala dan tayangan perdana filem Mat Tudung Begins yang diadakan di TGV 1 Utama pada Jumaat malam.
Dalam pada itu, Mimi mendedahkan dia berasa sangat teruja dapat berkunjung ke tempat-tempat menarik di ibu kota lebih-lebih lagi Menara Berkembar Petronas.
Apa yang paling saya suka dan teruja ialah apabila dapat pergi ke Menara Berkembar Petronas. Ini kerana, sebelum ini saya hanyat dapat melihat bangunan itu di televisyen, di media sahaja.
Dan kali ini apabila datang ke Malaysia, saya dapat ke sana mengambil beberapa gambar dan menjadi viral.
Sekadar info, Mimi Peri merupakan salah seorang pelakon yang terlibat dengan filem arahan pertama Datuk Fizz Fairuz yang berjudul Mat Tudung Begins.
Selain Mimi, antara pelakon yang turut membintangi filem ini termasuklah Datuk Fizz Fairuz, Achey, Isyariana, Maryam Durian Kimchi, Kazar Saisi dan ramai lagi.