
Mimpi merupakan kejadian yang berlaku separa sedar ketika tidur, ada yang berlalu tanpa meninggalkan kesan, ada juga yang jelas hingga mengganggu emosi, namun hakikatnya hanyalah mainan tidur dan tidak semestinya membawa makna.
Artikel Berkaitan: ‘Troll’ & Sebar Aib Di Media Sosial, Ini Hukumnya!
Artikel Berkaitan: Hubungan Batin Ketika Pasangan Sakit, Boleh Atau Perlu Dielakkan?
Mimpi harimau lambang kehebatan

Dalam perspektif Islam, mimpi tidak ditanggapi secara sembarangan atau bersifat mistik semata-mata, sebaliknya dianggap sebagai satu kejadian yang mempunyai makna tertentu dan selaras dengan kefahaman yang telah dibincangkan oleh para ulama.
Menurut penjelasan pihak Mufti Wilayah Persekutuan, Islam tidak menetapkan makna yang khusus atau muktamad bagi mimpi-mimpi tertentu seperti dimakan buaya atau bertemu harimau.
Walau bagaimanapun, al-Imam ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi menasihati sesiapa yang bermimpi melihat harimau supaya beristighfar kepada Allah atas dosa-dosanya.
Barangsiapa yang melihat harimau dalam mimpinya, hendaklah dia beristighfar kepada Allah atas dosa-dosanya.
Dalilnya adalah ia melambangkan raja-raja Parsi yang bertakwa.
Harimau itu juga melambangkan kegagahan dan manusia ketakutan yang amat sangat kepadanya.
Ia juga melambangkan seorang yang mempunyai pelbagai kebolehan dalam pelbagai bidang.
Berdasarkan huraian tersebut, ianya menjelaskan bahawa mimpi melihat harimau melambangkan kehebatan, kekuatan, atau kelebihan seseorang.
Namun, saranan untuk beristighfar bukan kerana mimpi itu membawa petanda yang buruk, sebaliknya sebagai peringatan agar kita menyedari keterbatasan sebagai hamba serta menjauhkan diri daripada sifat bangga diri dan ujub.
Mimpi buaya, ada unsur penindasan

Selain itu, Imam ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi menafsirkan bahawa mimpi melihat buaya di laut melambangkan seseorang yang tidak boleh dipercayai, sama ada kawan atau lawan.
Melihat buaya dalam mimpi adalah simbolik kepada polis.
Buaya di dalam laut merujuk kepada seseorang yang tidak boleh dipercayai, sama ada dia kawan atau lawan.
Buaya juga adalah merujuk kepada peniaga yang zalim dan tidak boleh dipercayai.
Sesiapa yang melihat buaya menariknya ke dalam air dan membunuhnya, sesungguhnya dia akan ditangkap polis yang akan mengambil hartanya dan membunuhnya.
Sekiranya dia selamat daripadanya, maka dia terselamat.
Dalam pada itu, melihat buaya dalam mimpi melambangkan kebiadaban, dosa, ketakutan, dan tekanan, serta menggambarkan kematian seseorang melalui keadaan lemas.
Manakala, melihat buaya di laut menandakan keburukan, dan jika melihatnya di daratan pula menunjukkan kelemahan dan kehinaan.
Sekiranya buaya dalam mimpi tersebut menarik seseorang ke dalam air, ia melambangkan bahawa seorang yang berkuasa akan memaksanya melakukan sesuatu yang dibencinya.
Daripada tafsiran ini, mimpi berkaitan buaya sering dikaitkan dengan unsur penindasan, kezaliman, tekanan hidup, ketakutan serta ancaman daripada pihak yang berkuasa atau tidak amanah.
Namun begitu, tidak semestinya membawa maksud keburukan secara mutlak, kerana terdapat juga gambaran keselamatan dan kemenangan sekiranya seseorang itu berjaya mengatasi buaya tersebut dalam mimpinya.
Sumber: Sirap Limau, Mufti Wilayah Persekutuan








