berita

Misteri Dua Remaja 19 Tahun Hilang Terungkai, Ditemui Mati Dalam Sebuah MPV

June 1st, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Misteri kehilangan dua sahabat yang dilaporkan hilang pada 23 dan 24 Mei lalu akhirnya terungkai dengan penemuan mayat mereka di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di parkir bawah tanah sebuah bangunan kediaman di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Tiada sebarang unsur jenayah

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu menerusi orang awam yang menemukan mayat dalam MPV jenis Toyota Alphard, pada pukul 8.26 malam.

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Salak Selatan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pergi ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Hasil siasatan di lokasi menemui mayat seorang wanita tempatan di bahagian penumpang hadapan dan mayat seorang lelaki tempatan masing-masing berusia 19 tahun di bahagian penumpang belakang MPV berkenaan.

Muhammad Idzam berkata, pihaknya dimaklumkan ada laporan polis dibuat mengenai kehilangan kedua-dua individu berkenaan oleh ibu bapa mereka di Kuala Selangor, 25 Mei lalu.

Pemeriksaan pada badan kedua-dua mayat itu serta lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

Kedua-dua mayat terbabit dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras, untuk proses bedah siasat.

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Ketua Polis Balai Salak Selatan, Inspektor Muhd Arfizan Ab Aziz di talian 019-9198729, Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×