Menerusi temu bual bersama pihak OhBulan!, penyanyi rap, MK K-Clique, 27, tidak menafikan dan tidak mengiyakan mengenai hubungannya dengan seorang wanita yang viral di media sosial, sebelum ini.
Artikel berkaitan: ‘Dah Lama Simpan Hasrat’ – MK Rancang Tunai Umrah Bersama Keluarga
Saya seorang belum kahwin
Menurut MK, ibunya, Kamariah sentiasa berdoa agar dia segera berumah tangga. Ini kerana, semua adik beradiknya sudah berkahwin.
Ibu memang mendoakan saya ke arah itu jadi perancangan itu memang sudah ada. Lagi pula bila tengok adik-beradik semua sudah melangkah ke alam rumah tangga, perasaan untuk kahwin juga semakin membuak-buak. Atas saya semua kakak-kakak dah kahwin dan adik lelaki saya seorang pun dah kahwin. Jadi tinggal saya sahaja.
Tambah MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, dia tidak berasa tertekan mengenai perkara tersebut sebaliknya berharap perkara yang baik.
Memandangkan urusan perkahwinan bukanlah sesuatu perkara yang boleh diambil lewa. Saya tidaklah berasa tertekan. Memilih seseorang untuk menjadi pendamping hidup bukanlah sesuatu mudah kerana kita nak hidup bersamanya bukan setahun dua.
Saya inginkan seorang wanita yang memahami diri saya dan membimbing saya dari sudut mental dan fizikal. Zaman sekarang sudah berbeza, percintaan pun menakutkan. Cukuplah sekadar saya katakan bahawa status saya sekarang sedang mencari.
MK yang ditemui di majlis pelancaran koleksi baju Melayu Armaan x MK di Panggung Asia, Gombak, semalam turut berkata dia berasa berminat dan selesa untuk menjalin kerjasama dengan jenama tersebut.
Ada orang bertanya kenapa tak bekerjasama dengan jenama besar untuk menjual baju Melayu. Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan jenama besar tetapi tahun ini saya mencari kelainan.
Kali ini, saya memilih jenama ini kerana percaya dengan kualiti mereka dan mahu berkongsi rezeki. Jenama berasal dari Jitra, Kedah ini mempunyai keistimewaan sendiri dan mampu bersaing dengan jenama besar lain.
Ujar MK lagi, Armaan diambil sempena nama arwah anak sulung pemilik jenama tersebut.
Sebelum ini saya buat kolaborasi dengan jenama besar. Namun kali ini saya ingin membantu dan berkongsi rezeki dengan Armaan.
Lagi pula untuk brand yang lain, sudah ada pempengaruh yang bekerjasama dengan mereka. Armaan adalah jenama yang sangat merendah diri dan saya tersentuh dengan sejarah penciptaannya yang diberi nama oleh arwah anak pemiliknya.
Untuk pengetahuan korang, untuk koleksi raya tahun ini Armaan muncul dengan beberapa koleksi seperti Baju Melayu Premium, Baju Melayu Exclusive, Kurta Moden, Kurta Klasik dan Baju Kanak-Kanak.