
Multimedia University (MMU) melakar sejarah baharu apabila melancarkan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) yang dirasmikan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Dewan Tun Canselor, MMU Cyberjaya.
Majlis yang turut disertakan dengan sesi Temu Anwar bersama mahasiswa itu menjadi simbol betapa pentingnya AI (Artificial Intelligence) dalam hala tuju masa depan negara.
“AI dah jadi sebahagian hidup kita” – Anwar
Dalam ucapan perasmian, Anwar menegaskan bahawa AI bukan lagi sekadar teknologi masa depan tetapi sudah pun menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, daripada cara kita bekerja, belajar sehinggalah berinteraksi.
Katanya, Malaysia tidak boleh sekadar menjadi penonton. Sebaliknya, rakyat dan institusi negara mesti tampil sebagai pencetus dan peneraju inovasi AI di rantau ini.
FAIE unik, fokus pada ‘Applied AI’
Berbeza dengan fakulti lain, FAIE memberi penekanan kepada Applied Artificial Intelligence (AI Gunaan). Ini bermaksud graduan MMU bukan sekadar faham teori, tetapi benar-benar bersedia mengaplikasikan AI dalam bidang kesihatan, pendidikan, kewangan, pertanian, malah industri kreatif.
“Ini bukti komitmen MMU melahirkan tenaga pakar yang relevan dengan kehendak industri masa kini dan masa depan,” ujar Anwar.
Sokongan penuh kerajaan MADANI
Dalam majlis itu juga, Anwar menekankan beberapa inisiatif kerajaan seperti:
- Penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO).
- Pelan Tindakan Teknologi AI 2026–2030.
- Program AI Untuk Rakyat, yang sudah bantu lebih sejuta rakyat kuasai literasi asas AI.
- AI Governance & Ethics Code (AIGE), garis panduan etika pembangunan AI.
Selain itu, kerjasama MMU dan MCMC membangunkan AI Transformation Centre (AIX) bernilai RM37 juta turut diumumkan sebagai satu hab nasional untuk memacu inovasi AI.
Langkah berani ke arah masa depan digital
Penubuhan FAIE ini dilihat sebagai mercu tanda penting dalam perjalanan Malaysia menuju kecemerlangan digital. Ia bukan sahaja bakal melahirkan pakar teknologi, tetapi juga pemimpin beretika dan penyelidik berprinsip yang akan membentuk wajah masa depan negara.
“Dengan pelancaran FAIE, Malaysia berada di landasan tepat untuk muncul sebagai peneraju serantau dalam AI, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi digital dan inovasi global,” kata Anwar sebelum merasmikan fakulti tersebut.
Majlis berakhir dengan suasana mesra apabila Perdana Menteri meluangkan masa bersama mahasiswa MMU dalam sesi Temu Anwar, mendengar suara anak muda serta berkongsi pandangan tentang masa depan negara.