berita

MP Lembah Pantai Bantu Pemilik ‘Kereta Perang’, Dedah Cerita Sebenar Disebalik Kecaman

October 16th, 2019 | by faris
Kini Trending

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bulan lalu teruk dihentam netizen setelah memuatnaik sebuah kereta uzur dan dilabel ‘kereta perang’. Fahmi tidak lama selepas itu membuat permohonan maaf terbuka berhubung tindakannya berkenaan.

Berniat mahu meminta maaf secara peribadi, Fahmi kemudiannya menjejak pemilik kenderaan berkenaan sekaligus menyangkal beberapa dakwaan sebelum ini oleh netizen.

Berjaya jejaki pemandu ‘kereta perang’

Ini kisah benar.

Pada 8 September lalu, saya telah tweet berkenaan sebuah kereta yang dalam keadaan amat daif dan kelihatan seperti tidak selamat untuk dipandu. Malangnya, tweet saya itu telah disalah faham. Ada yang beranggapan saya memperlekeh keadaan fizikal kereta itu. Malah ada pihak yang mengambil kesempatan untuk melempar fitnah, kononnya pemandu kereta itu kenalan mereka dan saya memomok golongan berpendapatan rendah.

Pada waktu itu, saya berpendirian untuk memohon maaf dan tidak melanjutkan polemik di media sosial. Saya juga berpandangan bahawa jika benar pemandu itu perlukan bantuan, maka saya perlu bantu secukupnya. Tetapi saya tidak kenal beliau, dan tidak tahu bagaimana untuk menghubunginya.

Alhamdulillah, ada beberapa pihak yang tampil untuk membantu. Akhirnya, beberapa hari kemudian saya berjaya hubungi individu tersebut.

Mulanya enggan bertemu

Nama beliau Yap Chi Hoe. Beliau berusia 39 tahun dan tinggal di Klang. Ibu bapa beliau sudah tiada. En Yap bekerja sebagai pemandu lori (bukan pemandu Grab), dan cukup menyayangi haiwan. Beliau juga tidak mengenali sesiapa bernama ‘Riza Tan’.

Pada mulanya, En Yap tidak mahu bertemu. Saya berkata yang saya mahu memohon maaf kepada beliau, tetapi beliau tidak yakin. Maka saya anggap cerita ini tertutup di situ.

Namun selepas beberapa hari, En Yap pula menghubungi saya. Beliau setuju untuk bertemu. Saya mendapat cerita penuh dari beliau, dan inilah ringkasannya:

Pada 8 September, En Yap terlibat dalam satu kemalangan di satu lebuhraya apabila dilanggar sebuah lori kontena dari belakang. Beliau telah menunggu tow truck, dan kerana beliau perlu tepati temu janji maka telah membuat keputusan untuk tetap memandu kereta yang telah dilanggar lori kontena itu.

Dapat rawatan mata percuma

Dari perbualan saya, saya dapati beliau sedang menghadapi masalah penglihatan yang mungkin mengakibatkan kehilangan penglihatan total, dan membuat keputusan untuk mengusahakan bantuan sebaik mungkin.

Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana pihak pengurusan Pantai Hospital Kuala Lumpur telah bersetuju untuk membantu secara pro bono sebagai sebahagian dari projek CSR mereka. Doktor pakar mata telah mendapati satu mata beliau mengalami masalah ‘chronic retinal detachment’, dan satu lagi perlu laser.

Saya ingin ucap terima kasih yang tidak terhingga kepada Pn Erica Lam (CEO) dan Dr Manoharan Shunmugam (pakar mata) di atas bantuan mereka untuk kes ini.

Pembedahan berjaya

Pembedahan itu telah dijalankan semalam (15hb Oktober), dan hari ini saya melawat beliau. Tiada masalah sampingan dari pembedahan, dan beliau akan dibenarkan pulang hari ini.

InshaAllah, selepas ini En Yap akan diberi sedikit rawatan susulan, dan saya percaya dengan keadaan mata yang semakin baik beliau akan berpeluang membina kehidupan yang lebih baik nanti.

Semoga segala usaha kita diberkati Ilahi.

Nota kaki: Kereta En Yap dianggap ‘total loss’, dan pihak insuran akan membantu beliau sepenuhnya.

Sumber: Fahmi Fadzil

The following two tabs change content below.

faris

Content champion at Rev Asia
Self-proclaimed foodie yang mahu salam cium tangan pencipta Horlicks Mcflurry.