Seorang lagi kanak-kanak meninggal dunia kerana termakan makanan ringan didakwa dicampur racun tikus iaitu Muhammad Luth Syauqi, 2, di Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.
Artikel berkaitan: Termakan Keropok Mengandungi Racun Tikus, Muhammad Akil Syauqi Meninggal Dunia
‘Hilang sudah kesakitannya’
Memetik laporan Harian Metro, berita tersebut disahkan oleh ibunya, Nurain Hasnorizal, 25, selepas melawatnya di wad hospital.
Luth sudah meninggal dunia kira-kira jam 1.24 tengah hari tadi, hilang sudah kesakitannya.
Jenazahnya dijangka dikebumikan Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kedah berhampiran pusara abangnya.
Sebelum ini, dilaporkan dua beradik iaitu Muhammad Luth Syauqi dan Muhammad Akil Syauqi masing-masing berusia dua dan tiga tahun didapati kritikal selepas termakan makanan ringan didakwa dicampur racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah, Ahad lalu.
Makanan ringan berupa keropok itu digantung pada pagar dawai dikatakan dipasang pemilik kebun yang bertujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanamannya.
Kedua-dua kanak-kanak berkenaan dikejar ke HPP selepas menerima rawatan di Hospital Kulim.
Muhammad Akil menghembuskan nafas terakhir pada 8.30 pagi, kelmarin.
Sumber: Harian Metro