berita

Muhyiddin Luah Rasa Syukur Rakyat Dapat Rentas Negeri – ‘Jangan Lupa Kirim Salam Dekat Mak & Ayah Di Kampung’

October 11th, 2021 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meluahkan rasa syukur dan gembira apabila seluruh rakyat Malaysia dapat merentas sempadan antara negeri mulai hari ini.

Saya puji pendirian pihak kerajaan

Alhamdulillah berkat kerjasama seluruh rakyat Malaysia, akhirnya rentas sempadan antara negeri untuk penduduk Malaysia yang sudah divaksinasi lengkap, dibenarkan oleh Kerajaan bermula hari ini, 11 Oktober 2021 seperti yang diumumkan YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semalam. Saya amat mengalu-alukan pengumuman YAB Perdana Menteri yang sememangnya amat ditunggu-tunggu oleh jutaan rakyat Malaysia baik yang tua mahupun yang muda, di bandar mahupun di desa.

Di Instagram, Muhyiddin memuji pendirian pihak kerajaan yang terus konsisten dengan strategi memberi vaksin kepada seramai mungkin penduduk di negara ini. Tambah Muhyiddin, lebih ramai individu yang divaksin, lebih ramai yang akan terlindung daripada dijangkiti Covid-19 dengan teruk. Ujar beliau lagi, beban terhadap sektor kesihatan awam akan berkurang juga.

Ini akan membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka dan kita beransur-ansur kembali ke kehidupan norma baharu dan beralih dari pandemik ke endemik. Sering saya tekankan sewaktu mempengerusikan Sidang Khas MKN COVID-19 dahulu bahawa suntikan vaksin ini merupakan “cahaya di hujung terowong” dan tanggungjawab kerajaan untuk melindungi penduduk di Malaysia.

Jangan sesekali leka dan alpa

 

Alhamdulillah, hari ini, kita sudah mula melihat dan menikmati hasil kerjasama rakyat dan kerajaan serta pengorbanan para petugas barisan hadapan dalam memerangi COVID-19. Dalam bergerak ke hadapan, jangan sesekali kita leka dan alpa kerana sememangnya virus ini masih berada di dalam komuniti. Selain usaha-usaha Kerajaan dalam kita beralih ke tahap endemik jangkitan COVID-19, penilaian kendiri amat penting untuk kita terus berjaya dan menang menentang musuh kita iaitu virus COVID-19.

Di akhir posting, Muhyiddin turut berpesan kepada seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa mengamalkan SOP yang telah ditetapkan dan tidak sesekali leka mengenai wabak Covid-19 ini.

Bagi mereka yang ingin merentas negeri, saya doakan perjalanan anda di permudah dan semoga anda dan keluarga sentiasa dilindungi. Mulakan perjalanan anda dengan doa semoga dilindungi keselamatan anda dan keluarga sepanjang perjalanan dan patuhilah SOP yang ditetapkan. Kirimkan salam saya kepada ibu dan ayah, saudara mara di kampung!

Sumber: Muhyiddin Yassin

SKIP THIS AD ×