Mulai 1 Januari 2026, semua platform media sosial dan perkhidmatan pesanan internet yang ada lebih daripada 8 juta pengguna di Malaysia akan secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)).

Langkah ini datang daripada Peruntukan Deeming di bawah seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membolehkan pendaftaran secara automatik tanpa perlu isi borang atau permohonan formal.

Apa Itu Peruntukan Deeming?

Peruntukan ini diperkenalkan melalui pindaan AKM 1998 dan berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.
Secara ringkasnya, ia membolehkan pihak tertentu “disifatkan berdaftar” melalui perisytiharan Menteri, sekaligus tertakluk kepada semua obligasi dan syarat di bawah akta ini.

Tujuan utama? Menutup jurang pengawalseliaan terhadap penyedia perkhidmatan luar negara yang aktif di Malaysia. Dengan ini, mereka turut terikat dengan undang-undang Malaysia, sekaligus mewujudkan pasaran digital yang lebih seimbang dan teratur.

Fokus Pada Keselamatan & Akauntabiliti

Inisiatif ini bukan sekadar formaliti, ia memastikan penyedia platform memikul tanggungjawab lebih jelas, terutama dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga.

Antara platform terlibat termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

Pendekatan ini juga selaras dengan amalan antarabangsa, memastikan akauntabiliti dan pematuhan undang-undang Malaysia secara konsisten.

Bagaimana Operasi Penyedia Perkhidmatan?

Platform yang telah disifatkan berdaftar tetap boleh beroperasi seperti biasa di peringkat global. Tempoh sah pendaftaran mereka kekal selagi tidak dibatalkan, tetapi mereka wajib mematuhi semua syarat dan undang-undang yang relevan.

Kalau gagal patuh, tindakan kawal selia atau undang-undang boleh dikenakan, termasuk denda atau penalti kewangan. Bagi penyedia luar negara, mereka tidak diwajibkan buka pejabat fizikal di Malaysia, tapi mesti melantik wakil tempatan untuk urusan pelaporan dan memastikan pematuhan sepenuhnya.

Kerjasama Dengan Agensi Penguatkuasaan

MCMC akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, demi manfaat semua pengguna di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai Peruntukan Deeming, korang boleh layari laman web rasmi MCMC.