Pelakon Datuk Adi Putra mengakui dirinya kini semakin aktif di platform TikTok bukan hanya mengikut trend, sebaliknya sebagai satu cara untuk lebih dekat dan terus berhubung dengan peminat.

Artikel Berkaitan: Adi Putra Pesan Manfaatkan Penggunaan Media Sosial – ‘Jauhkan Anasir Negatif’

Artikel Berkaitan: ‘Setiap Ramadan Kena Kecam, Dulu Lelaki Itu Sekarang Sekam Di Dada’ – Adi Putra

Adi Putra aktif di TikTok

Ketika ditemui OhBulan!, Adi Putra atau nama penuhnya Mohamed Hadi Putera Halim, 45, menafikan penglibatannya itu bukan semata-mata untuk meraih perhatian, sebaliknya sebagai ruang berkongsi mesej kepada orang ramai.

Tak juga (untuk menarik perhatian) tapi berbalik pada niat. Ramai perasan saya aktif dalam TikTok ini sebenarnya saya nak sampaikan juga beberapa perkara. Bukan sahaja industri hiburan, malah perniagaan.

Adi Putra berkata demikian ketika ditemui di sesi fotografi drama Luka Di Hujung Setia yang diadakan di Lobi Galeri Prima Balai Berita, Petaling Jaya pada Rabu. 

Jelasnya lagi, ianya juga salah satu cara untuk mengubat kerinduan peminat yang menantikan kemunculannya di kaca televisyen.

Saya nak sumbangkan balik khusus kepada peminat, rakan-rakan dalam industri dan juga media yang banyak membantu saya daripada awal.

Saya tahu dalam TikTok ini orang suka konten yang menggembirakan, yang meriangkan mereka. Jadi saya cuba sumbangkan dalam kaedah yang macam tu.

Mungkin cara ini juga dapat hilangkan kerinduan peminat.

Dalam masa sama, pelakon filem Mat Kilau itu turut menyedari kehadirannya di platform itu mendapat perhatian ramai walaupun tanpa perlu menghasilkan kandungan yang terlalu kompleks.

Itulah dia. Bila kita jarang keluar drama dan TV, mungkin saya keluar dekat TikTok. Itu maksud saya juga. 

Jadi walaupun tak ada banyak konten, tak perlu bercakap pun tak apa, adalah wajahnya.

Malah, dia juga akui perkembangan digital masa kini membuka ruang baharu buat artis untuk terus kekal relevan dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

Dalam perkembangan lain, Adi Putra bersama beberapa pelakon lain termasuk Zara Zya, Irfan Zaini dan Cahaya Nilam membintangi drama Luka Di Hujung Setia yang bakal ditayangkan di TV3 pada 19 Mei ini.