berita

myGAP Beri Jaminan Hasil Produk Yang Selamat & Berkualiti Buat Semua Pengeluar Produk Tanaman, Ternakan dan Akuakultur

January 5th, 2024 | by Syakilla Marzuki
Shout Out!

Korang pernah dengar tak tentang Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP)?

Sebenarnya, myGAP merupakan satu skim pensijilan yang mengiktiraf petani dan penternak yang mengamalkan amalan pertanian baik meliputi subsektor tanaman, ternakan dan akuakultur.

Kalau korang nak dapatkan produk akuakultur yang selamat dan berkualiti di pasaran seperti udang harimau dan udang putih, ikan siakap, merah, kerapu, tilapia, patin, keli serta rumpai laut, korang mesti cari yang ada label myGAP tau.

Selain itu, myGAP turut menjamin kelestarian alam sekitar, menjaga kebajikan haiwan ternakan di samping mengutamakan keselamatan dan kesihatan pekerja.

Selain daripada spesis akuatik yang diternak dalam kolam, sangkar dan tangki,  myGAP akuakultur turut merangkumi ternakan ikan hiasan, pengeluaran benih udang dan ikan daripada pusat penetasan serta pengkulturan rumpai laut di perairan terbuka.

Sebelum dipersijilkan myGAP, ladang atau premis akan diaudit terlebih dahulu bagi memastikan kriteria pensijilan dipatuhi. Hanya pengusaha yang memenuhi kriteria sahaja yang layak dipersijilkan myGAP dengan tempoh sah laku sijil selama dua (2) tahun daripada tarikh kelulusan.

Nak tahu apa faedah pensijilan myGAP? Jom kami kongsi!

1. Hasil berkualiti dan selamat dimakan

Dalam menghasilkan sesuatu produk yang berkualiti, pematuhan kepada piawaian yang ditetapkan perlu dipatuhi bagi memastikan produk tersebut adalah selamat dimakan.

Sebagai contoh, pengusaha akuakultur tidak boleh menggunakan antibiotik dan bahan residu untuk ikan atau udang yang boleh menjejaskan kesihatan manusia. Produk akuakultur yang dijual juga, mestilah bebas penyakit sebelum dipasarkan.

Barulah pengguna lebih yakin kan!

2. Mesra alam sekitar

Menerusi pensijilan myGAP, pengusaha yang melaksanakan penternakan ikan dan udang, perlu memastikan bahawa kualiti alam sekitar adalah tidak terjejas. Nak tahu macam mana? Pengusaha perlu memastikan bahawa kedudukan lokasi ladang adalah tidak berdekatan dengan kawasan industri atau kawasan perumahan.

Apabila nak tukar air atau menuai hasil, air buangan daripada kolam-kolam ternakan perlu dirawat terlebih dahulu sebelum ianya dilepaskan di perairan umum seperti tasik, sungai, lombong atau laut untuk mencegah penyakit.

Oleh itu, ternakan yang berkualiti dapat dihasilkan di samping penjagaan alam sekitar turut terpelihara.

3. Menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja

Pensijilan myGAP ini bukan sahaja nak bagi ternakan happy dan alam sekitar selamat, tetapi kebajikan dan keselamatan pekerja juga turut diambil perhatian.

Menerusi pensijilan ini, para pekerja akan dilatih untuk menjaga kebersihan diri serta ternakan melalui pelaksanaan Amalan Akuakultur Baik.  Selain itu, penginapan serta kawasan kerja yang lengkap dan kondusif juga perlu disediakan oleh majikan.

Ada pelbagai faedah lain lagi kepada petani dan penternak. Antaranya:

Meluaskan pasaran tempatan dan antarabangsa. Pemasaran produk dengan logo myGAP boleh menambah keyakinan pengguna kerana semua produk yang dipersijilkan myGAP telah melalui proses auditan oleh jabatan pelaksana. Sebagai contoh, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengeluarkan sijil myGAP bagi subsektor akuakultur.

Selain itu, terdapat juga negara luar yang menetapkan pensijilan myGAP sebagai syarat pengimportan sesebuah produk ke negara mereka.

Pensijilan myGAP juga merupakan komitmen petani dan penternak untuk menghasilkan produk yang selamat dan berkualti selaras dengan piawaian antarabangsa.

Jadi, jom join myGAP untuk hasil akuakultur yang selamat dan berkualiti!

Korang yang masih belum memohon pensijilan myGAP cepat-cepat lah sertai sekarang. Barulah produk akuakultur yang dihasilkan terjamin selamat dan berkualiti.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web https://www.dof.gov.my/en/services/certification-scheme/mygap-certification/

SKIP THIS AD ×