Bagi mereka yang bercadang memelihara anjing di kawasan Petaling Jaya, pemilik perlu mendapatkan lesen yang sah daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan: Mek Yun Mohon Maaf Melulu Ulas Isu Kematian Anjing ‘Rocky’ – ‘Saya Sepatutnya Tunggu Siasatan’

Cara mohon lesen

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal rasmi MBPJ. Pemohon perlu menyediakan salinan kad pengenalan, gambar hadapan rumah, gambar anjing serta sijil pemeriksaan kesihatan atau vaksin daripada klinik haiwan yang diiktiraf. Bukti anjing telah dimandulkan juga boleh disertakan jika ada.

Kadar lesen ialah RM30 untuk seekor anjing sehingga 31 Disember tahun semasa, RM60 untuk tempoh dua tahun dan RM90 bagi tempoh tiga tahun. Namun, anjing yang telah dimandulkan boleh mendapatkan lesen tiga tahun dengan bayaran RM30.

Selepas bayaran dibuat, pemilik perlu mengambil tag anjing di kaunter Ibu Pejabat MBPJ. Anjing juga wajib memakai tag tersebut dan hanya boleh dibawa keluar dari kawasan premis dengan menggunakan tali atau rantai serta penutup mulut.

Pemilik perlu memastikan anjing sentiasa bersih, sihat dan tidak mengganggu jiran. Najis dan kotoran anjing juga tidak boleh dibiarkan bersepah atau dibuang ke dalam longkang awam.

Untuk jumlah pemeliharaan, premis berkeluasan kurang daripada 1,000 meter persegi hanya dibenarkan memelihara dua ekor anjing, manakala premis melebihi 1,000 meter persegi dibenarkan sehingga empat ekor.

Bagaimanapun, pemeliharaan anjing tidak dibenarkan di rumah kediaman jenis flat, pangsapuri dan kondominium dalam kawasan MBPJ.

Pemilik juga perlu memastikan anjing tidak berkeliaran tanpa tag pengenalan kerana anjing yang ditangkap tanpa tanda pengenalan boleh ditahan dan sekiranya tidak dituntut dalam tempoh tujuh hari, tindakan lanjut boleh diambil.

Pemeliharaan anjing tanpa lesen pula boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000. Jika disabitkan kesalahan, pemilik boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sumber: MBPJ