berita

Nak Beli Rumah Pertama? Jom Dapatkan Info Perumahan & Nasihat Pakar Di Karnival Jom Beli Rumah 2022!

July 13th, 2022 | by Nurul
Kini Trending

Buat korang yang masih tercari-cari rumah idaman dan ingin memiliki rumah pertama, kami ada berita baik untuk semua. Bermula 15 sehingga 17 Julai 2022, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menganjurkan Karnival Jom Beli Rumah 2022 (KJBR 2022) di Dewan 1, Pusat Pameran Mid Valley (Mid Valley Exhibition Centre – MVEC), Kuala Lumpur.

KJBR 2022 ini merupakan salah satu inisiatif Kementerian bagi meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat, selaras dengan matlamat Satu Keluarga, Satu Rumah. Ia sekaligus menggalakkan generasi muda membeli serta memiliki rumah pertama mereka.

Kalau korang nak tahu lebih lanjut tentang program ini, jom kami kongsikan!

Penganjuran KJBR 2022 ini adalah kolaborasi strategik KPKT bersama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) serta Media Prima Omnia

Ia terbuka kepada semua bakal pembeli rumah terutamanya golongan pembeli rumah pertama  dengan menyediakan skim pembiayaan seperti berikut:

(i) Skim Rumah Pertamaku (SRP)

Skim yang ditawarkan oleh Cagamas Berhad ini adalah bagi membantu pembeli rumah pertama dalam kalangan M40 dan B40 untuk memiliki sebuah rumah dengan nilai harta tanah sehingga RM500,000 tanpa perlu membayar wang pendahuluan dengan pembiayaan sehingga 110%.

Skim ini terbuka kepada individu yang bekerja sendiri atau pekerja bergaji dengan pendapatan kasar isi rumah tidak melebihi RM10,000 untuk pemohon tunggal atau pemohon bersama.

(ii) Skim rent-to-own (RTO)

Skim RTO PR1MA memberi peluang kepada rakyat khususnya dalam kalangan M40 untuk memiliki rumah idaman dengan skim pemilikan perumahan secara mampu milik. Skim RTO merupakan skim pemilikan perumahan berkonsep sewa beli dan skim ini terbuka untuk unit-unit PR1MA sedia ada.

Skim ini menawarkan pelbagai faedah kepada bakal pembeli termasuk kos kemasukan rendah, kos bulanan yang rendah untuk lima (5) tahun pertama serta harga rumah yang terkawal dan mampu milik.

Golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti pekerja ekonomi gig dan bebas,  pemilik perniagaan, peniaga atau usahawan kecil

Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) menyediakan pembiayaan perumahan yang akan dijamin oleh Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) untuk pemohon-pemohon yang tidak berpendapatan tetap dan berpendapatan rendah dan kekurangan dokumen pendapatan bagi pembelian rumah pertama.

Had pembiayaan yang ditawarkan sehingga RM400,000.00 (termasuk jumlah pembiayaan pokok, MRTA/ MRTT, LTHO, yuran guaman dan yuran penilaian) dengan pembiayaan sehingga 100%. 

KJBR 2022 dijangka menerima sambutan yang menggalakkan

  • Pameran dan jualan hartanah daripada pemaju berkaliber;
  • Panduan Pembelian Rumah untuk bakal pembeli rumah;
  • Pameran Rumah Mampu Milik daripada agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri; 
  • Kaunter- kaunter maklumat berkenaan inisiatif kerajaan termasuk Pembiayaan (i-Biaya)
  • Program-program yang berkaitan industri hartanah, seperti :
    1. Klinik Pengurusan Kewangan oleh AKPK;
    2. Lain-lain program ilmiah yang berkaitan industri hartanah; dan
    3. Khidmat Nasihat Perumahan daripada agensi Kerajaan dan industri kewangan yang berkaitan;
  • Aktiviti keluarga: Face Painting For Kids & Pop-Corn;
  • Persembahan hiburan daripada artis tanah air seperti:
    • Sissy Iman: 15 Julai 2022, 5–6 petang
    • Khai Bahar: 16 Julai 2022, 2– 3 petang
    • Tomok dan Puteri Hareeza: 17 Julai 2022, 2– 3 petang
    • Personaliti Hot FM: Sabtu-Ahad, 12-2 petang, Sabtu 6-8 malam
  • Demonstrasi Masakan bersama Maria Tunku Sabri: Sabtu- 5-7 petang

Yang lagi best, pada masa ini, kerajaan juga telah memberi insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik harta tanah dan  perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman pertama bernilai sehingga RM500,000.00. Bestnya!

Lebih 17 pemaju akan berada di karnival ni tau!

Antara pemaju yang terlibat ialah:

  1. Gamuda Land Sdn. Bhd.
  2. IJM Land Berhad
  3. S P Setia Berhad
  4. Sunway Property
  5. Mah Sing Group Berhad
  6.  Sime Darby Property Berhad
  7. LBS Bina Group
  8. Putrajaya Holdings Sdn. Bhd.
  9. THP Hartanah Sdn. Bhd
  10. Lagenda Properties Berhad
  11. EM Hub Sdn. Bhd.
  12. Perbadanan PRIMA Malaysia
  13. Matrix Concepts Holdings Berhad
  14. Ecofirst
  15. Land & General Berhad
  16. MKH berhad
  17. Platinum Victory Holdings Sdn. Bhd.

Program Pemilikan Rumah (Home Ownership Programme – HOPE) akan dilancarkan di KJBR 2022

Sempena KJBR 2022 ini juga, turut diadakan Pelancaran Program Pemilikan Rumah (Home Ownership Programme – HOPE) oleh YAB Perdana Menteri pada 15 Julai 2022 (Jumaat), jam 3.30 petang.

HOPE adalah inisiatif KPKT untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat dengan fokus utama sasaran iaitu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana terutamanya dalam kumpulan B40 dan M40. 

Antara program rumah mampu milik di bawah KPKT adalah seperti Program Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Penjawatan Awam (PPAM), Rumah Mesra Rakyat (RMR), Rumah Transit Belia (RTB), Perumahan PR1MA dan juga kediaman SPNB.

Dengan Pelancaran HOPE, Kerajaan akan memastikan bahawa rakyat tidak  terpinggir dalam arus perancangan perumahan negara serta kita semua dapat menikmati perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan dengan lebih tersusun.

Kalau korang nak tahu lebih lanjut berkaitan HOPE, korang boleh layari laman web mereka iaitu https://hope.kpkt.gov.my.

Jadi, apa lagi korang tunggu? Jom ajak kawan-kawan dan keluarga ramai-ramai memeriahkan Karnival Jom Beli Rumah dan Pelancaran HOPE serta rebut peluang untuk miliki rumah idaman korang dengan cara yang bijak!

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila layari laman sesawang seperti berikut :

SKIP THIS AD ×