berita

Nak Bercuti Ke Pulau Langkawi? Ini Antara SOP & Garis Panduan Yang Korang Perlu Tahu

September 10th, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Foto: Kosmo

Pulau Langkawi akan mula dibuka kepada pelancong dari seluruh negara kecuali mereka yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula 16 September ini. Meskipun begitu, para pelancong mestilah memenuhi kriteria prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pulau Langkawi dibuka 16 September ini

Foto: Malay Mail

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Hajah Nancy Shukri, mereka yang ingin melancong ke Pulau Langkawi perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu. Jelasnya lagi, pelancong mempunyai dua pilihan sama ada ingin menggunakan jalan udara atau pun barat.

Bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri ke Langkawi.

Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka ke Langkawi dari negeri Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan.

SOP ke Pulau Langkawi

Foto: Road Affair

Tambah Datuk Seri Hajah Nancy Shukri lagi, selain terhad kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksin, antara SOP lain yang perlu dipatuhi pengunjung ialah percutian mestilah secara harian, bermalam dengan tempahan penginapan atau tiket masuk yang dibuat lebih awal, percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan yang berlesen dan berdaftar dengan MOTAC.

Bilangan penumpang setiap kenderaan semasa dalam perjalanan pula adalah tertakluk kepada kapasiti sebenar kenderaan tersebut. Pengunjung yang perlu menyesuaikan dengan waktu perkhidmatan feri ke Langkawi dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah/Perlis.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga perlu menunjukkan bukti dokumen pembelian produk pelancongan semasa memohon kebenaran dengan PDRM dan ketika diminta oleh penguatkuasa agensi pematuhan SOP. Dalam pada itu, tiada had umur ditetapkan untuk kemasukan ke Pulau Langkawi dan individu berumur bawah 18 tahun perlu bergerak bersama penjaga yang telah lengkap divaksinasi.

Sumber: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia

SKIP THIS AD ×