Baru-baru ini industri seni tanah air dikejutkan dengan pengakuan pengarah dan penerbit popular, Michael Ang yang telah mengesahkan dirinya sudah memeluk agama Islam lebih setahun yang lalu.
Menerusi Harian Metro, walaupun lebih setahun memeluk Islam, dia mengakui masih melafazkan bacaan dan surah solat fardhu dalam bahasa Inggeris kerana mengalami kesukaran dan belum menguasai bacaan dalam bahasa Arab.
Masih belum fasih membaca surah dalam bahasa Arab
Saya cuba untuk membaca surah dalam bahasa Arab, tetapi lidah sukar untuk menyebutnya. Nak bertutur dalam bahasa Malaysia pun susah, inikan pula dalam bahasa Arab.
Bagi memastikan melaksanakan ibadat wajib, saya melakukannya dalam bahasa Inggeris. Sebelum ini juga saya berdepan kesukaran untuk sujud ketika solat kerana mengalami masalah berat badan, tapi selepas badan semakin susut, saya lebih selesa.
Dia memberitahu bahawa jika dia ingin menunaikan solat dalam bahasa arab, dia terpaksa meletakkan tele panduan solat di depan bagi memudahkannya untuk melafazkan dalam bahasa arab. Walaupun belum mahir dalam membaca surah, dia masih tetap menunaikan kewajipan sebagai seorang umat Islam.
Mualaf dibenarkan lafaz dalam bahasa Inggeris
Sehubungan itu, Tan Sri Dr Harussani Zakaria selaku Mufti Perak berkata, seorang mualaf masiih dibenarkan untuk melafazkan bacaan solat dalam bahasa Inggeris ketika awal penghijrahannya.
Bagaimanapun bagi seorang mualaf wajib baginya untuk belajar dan menimba ilmu cara solat yang sah termasuklah melafazkan bacaan mengikut surah dan tertib.
Sumber: Harian Metro