berita

‘Nak Keluar Mengurut Kerana Lenguh Badan’ – Wanita Mengandung Mangsa Tembakan Minta Tolong Nenek Jaga 3 Anak

June 5th, 2022 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Viral di media sosial mengenai kes seorang wanita mengandung ditemui maut dengan kesan tembakan pada perutnya, semalam.

Artikel berkaitan: Wanita Mengandung Ditemui Maut Di Tempat Duduk Pemandu Dengan Kesan Tembakan

Menerusi laporan Harian Metro, mangsa dikatakan hendak keluar mengurut kerana lenguh badan akibat mengandung.

Nak pergi urut

Menurut nenek kepada mangsa iaitu Zawiah Sulong, cucunya itu memintanya untuk menjaga tiga orang anak yang lain sebelum keluar berurut. Tambah Zawiah, cucunya keluar rumah kira-kira pukul 8 malam pada hari Jumaat lalu, namun kemudian tidak pulang sehingga keesokan harinya. Ujar Zawiah lagi, dia sendiri cuba mencari dengan pergi ke rumah rakan-rakan rapat cucunya selain menelefon beberapa kali tetapi tidak dijawab.

Saya cuba menghubungi ibunya yang tinggal di Kampung Bechah Kelubi, Bukit Panau, di sini, namun diberitahu anaknya tidak pulang ke sana. Khabar itu meresahkan saya sehinggalah ada saudara memberitahu kereta miliknya tersadai di tepi jalan. Saya segera ke lokasi kejadian dan terkejut melihat orang ramai dan polis, selepas itu barulah saya tahu kejadian sebenar.

Mengucap panjang saya melihat cucu kesayangan kaku di dalam kereta dalam keadaan sudah tidak bernyawa.Tiga anak arwah ada dengan saya berusia tiga sehingga 10 tahun dan mereka masih dalam keadaan terkejut, malah yang paling kecil asyik menangis ‘mencari’ ibunya kerana mereka sangat akrab.

Cucu sangat baik dan peramah

Bercerita lebih lanjut, Zawiah memberitahu mangsa adalah cucu yang dipelihara seawal usia 10 hari dan sangat rapat dengannya, selain tinggal serumah selepas mangsa bercerai dengan suaminya pada Februari lalu.

Dia cucu yang sangat baik dan peramah, tidak suka keluar malam kecuali jika ada urusan penting saja, jadi saya agak terkejut kejadian sebegini terjadi padanya. Dia juga tidak pernah bercerita jika ada bermusuh atau sebagainya. Saya reda dengan apa yang terjadi dan perlu kuat demi terus menjaga anak-anak mangsa yang masih lagi trauma dengan kejadian ini. Insya Allah, selagi nyawa dikandung badan saya akan menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagai mana saya membesarkan ibu mereka.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bechah Kelubi sebagai memenuhi permintaan ibu kandungnya sebaik proses bedah siasat selesai.

Sebagai nenek, Zawiah berharap pembunuh cucunya dapat segera ditangkap dan diberi hukuman setimpal selain menjadikan pengajaran buat orang lain supaya berfikir dahulu sebelum bertindak agar tiada nyawa yang menjadi korban.

Sumber: Harian Metro

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×