Iz OIAM2 atau Iz Sulaini adalah antara selebriti dan penyanyi lelaki yang cukup ‘trendy’ di Malaysia. Disebabkan begitu ‘trendy’ sehinggakan ada yang mengatakan artis ini sukar dihampiri dan sombong.
Iz yang ditemui di majlis Karangkraf eMall, sempat memberi komen mengenai isu ini. Menurut Iz, mungkin orang melihatnya dari sudut luaran sahaja, namun hakikatnya dia adalah seorang yang peramah dan mudah bergaul dengan sesiapa sahaja.
Bagi menjelaskan salah faham peminat terhadap dirinya yang dianggap sombong, dia bakal mendedahkan personaliti serta peribadi sebenarnya dalam webisode khas yang berjudul “The other Side of Iz” di portal Murai.
Menurutnya, melalui webisode ini, peminat dan penonton akan lebih mengenali diri sebenarnya yang selama ini hanya seorang insan biasa tetapi punya bakat yang unik dan minat dalam bidang muzik.
“Dalam webisode ini akan membongkar serta memaparkan personaliti serta peribadi sebenarnya diri saya. Saya harap semua pihak termasuk peminat akan lebih mengenali diri saya sebelum membuat apa-apa tanggapan. Saya sebenarnya hanya orang biasa yang mahu berkongsi bakat dan minat dalam bidang muzik dan fesyen sahaja, ” ujarnya
Dalam masa yang sama Iz Sulaini memberitahu secara rasminya kepada semua nama komersialnya kini ialah Iz, bukan lagi Iz OIAM2 atau Iz Sulaini. Baginya, ia lebih mudah disebut, diingati dan dieja oleh sesiapa sahaja tidak kira dari negara mana atau apa jua bahasa pertuturan dan bangsa.
Jelas Iz, sudah tiba masa untuk dirinya meninggalkan gelaran OIAM (One In A Million) yang selalu diberikan kepadanya.
Terbaru, IZ baru sahaja selesai penggambaran bersama Fear Factor Selebriti Malaysia dan sedang merakamkan single terbarunya untuk dilancarkan awal tahun depan. Kini, dia dalam rangka mempromosikan muzik video terbaru di Youtube berjudul “Cinta Akhir”.