Penyanyi dan komposer, Aina Abdul meluahkan rasa terharu apabila namanya dipilih sendiri oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza selaku penyanyi undangan dalam Konsert Aku Cinta Padamu Siti Nurhaliza 30 Tahun.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Aina Abdul Murah Hati Hulur Duit Belanja Buat Keluarga, Netizen Doa Murah Rezeki

‘Gembira & gementar’

Aina atau nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani, 33, berkata dia tidak menjangkakan peluang sebesar itu hadir dalam kerjaya seninya, apatah lagi dipilih sendiri oleh penyanyi yang menjadi idolanya sejak dahulu.

Saya terkejut kerana saya peminat Datuk Siti. Bagi saya, itu hari bersejarah untuk Tokti dan beliau berhak memilih sesiapa sahaja.

Tapi bila dapat tahu saya dipilih sendiri oleh Tokti, saya terlalu gembira, terharu dan pada masa sama sangat gementar.

Aina berkata demikian ketika ditemui pada acara Gempak Most Wanted Award 2025 (GMWA) yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada Ahad.

Tambah pemenang Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-24 itu, dia mengakui berasa gemuruh sepanjang sesi latihan, namun bersyukur kerana sentiasa dibantu oleh Siti.

Saya sampai banyak kali buat silap ketika latihan kerana terlalu gementar. Mujur Tokti sentiasa membantu dan membimbing saya untuk menyanyikan lagu tersebut.

Lagu itu pula antara lagu paling dinantikan peminat untuk dipersembahkan secara langsung, jadi tekanan memang terasa. Saya harap Tokti gembira dan bangga dengan saya. Itu sahaja harapan saya.

Dalam pada itu, Aina turut mengulas mengenai perubahan penerimaan peminat terhadap dirinya yang sebelum ini mengecam namun sekarang mula jatuh cinta dengan bakatnya.

Saya gembira kalau penerimaan semakin baik, tetapi saya memang tidak terlalu ambil kisah komen netizen sama ada baik atau buruk. Mungkin perubahan itu berlaku tanpa saya sedari. Jika benar begitu, Alhamdulillah.

Saya harap orang ramai tetap merindui saya dan terus berminat dengan apa yang saya lakukan. Takut juga kalau semua dah okay, nanti orang dah tak ambil kisah pula.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Datuk Suhaimi Sulaiman dalam satu temu bual mendedahkan bahawa Siti sendiri yang berhasrat untuk mengundang Aina selaku penyanyi jemputan dan berduet untuk beberapa buah lagu menerusi Konsert Aku Cinta Padamu Siti Nurhaliza 30 Tahun.