
Bercakap selama 30 saat di TikTok dan mengendalikan program langsung selama dua jam mungkin sama-sama melibatkan kamera. Tetapi tekanannya langsung tidak sama.
Di media sosial, video boleh dirakam semula, dipotong dan diedit. Dalam siaran langsung, salah sebut nama, terlepas cue atau gurauan yang tidak menjadi terus sampai kepada penonton.
Sebab itu dalam era apabila populariti digital semakin membuka pintu ke televisyen, satu persoalan wajar ditanya, adakah seseorang yang petah dan viral secara automatik sesuai menjadi pengacara?
Artikel Berkaitan: Raja Azura Sedia Kongsi Ilmu Pengacaraan Kepada Pelapis Baharu – ‘Datang Jumpa, Saya Tak Letakkan Bayaran’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Netizen Kritik Anak Nabil Ahmad Jadi Pengacara, Dakwa Guna Tutur Kata Kurang Sesuai – ‘Banyak Lagi Kena Belajar’
Keanu Azman Buktikan Pentas Besar Memang ‘Permainan’ Berbeza
Perbincangan mengenai kemahiran mengacara kembali hangat selepas Keanu Azman dan Raja Azura bergandingan untuk minggu pertama Kilauan Emas Selebriti 2026.
Gandingan mereka menerima kritikan apabila segelintir penonton merasakan kedua-duanya belum mempunyai keseimbangan dan keserasian yang cukup.
Keanu sendiri tidak menafikan perkara tersebut. Sebaliknya, dia mengakui terdapat banyak kelemahan dalam pengacaraannya dan menjelaskan Kilauan Emas Selebriti merupakan program berskala besar pertama yang dikendalikannya.
Menurut Keanu, perkara yang menjadi ketika latihan juga tidak semestinya berjalan sama apabila bersiaran secara langsung. Apa yang menarik, Keanu sebenarnya bukan orang baharu dalam bidang komunikasi.
Dia menjadi penyampai radio sejak usia 21 tahun, pernah mengendalikan program televisyen dan sudah meminati bidang pengacaraan sejak remaja.
Kalau seseorang yang mempunyai pengalaman radio dan pengacaraan pun masih perlu menyesuaikan diri dengan pentas besar, bayangkan cabarannya bagi seseorang yang hanya biasa bercakap di depan kamera telefon.
Ini menunjukkan pengacaraan live memang satu disiplin tersendiri.
Host Bukan Sekadar Orang Yang Pegang Mikrofon
Penonton mungkin hanya melihat hos membaca skrip, bercakap dengan peserta dan mengumumkan keputusan. Di belakangnya ada banyak perkara berlaku serentak.
Pengacara perlu memahami rundown, mendengar arahan produksi melalui earpiece, bercakap mengikut masa, tahu bila perlu memendekkan segmen dan bersedia mengisi ruang sekiranya berlaku masalah teknikal.
Profil kerjaya broadcast presenter oleh Prospects menyenaraikan antara kemahiran utama pengacara televisyen sebagai membuat kajian, berlatih, menggunakan skrip dan autocue, melakukan improvisasi, memastikan program mengikut jadual serta kekal berhubung dengan pengarah melalui earpiece.
BBC pula menyatakan pengalaman siaran langsung, kemampuan bercakap mengikut masa, membuat keputusan pantas dan kekal tenang apabila sesuatu tidak mengikut rancangan sebagai kemahiran penting dalam persekitaran televisyen live.
Yang Nampak Spontan Sebenarnya Banyak Yang Dirancang
Antara salah faham terbesar mengenai pengacara hebat ialah kita menganggap mereka naik ke pentas lalu terus menjadi kelakar secara spontan.
Hakikatnya, spontan yang bagus selalunya datang daripada persediaan yang sangat rapi. Selebriti, Nabil Ahmad baru-baru ini mendedahkan banyak jenaka dan interaksi dalam program besar seperti Big Stage sebenarnya sudah mempunyai skrip atau dibincangkan terlebih dahulu.
Menurut Nabil, walaupun improvisasi tetap berlaku, dia lazimnya berbincang dengan pasangan pengacara dan individu yang terlibat sebelum sesuatu segmen dilakukan.
Sebab itulah hos berpengalaman boleh membuat sesuatu momen kelihatan effortless. Mereka membuat persediaan sehingga persediaan itu tidak kelihatan seperti persediaan.
Live Tak Ada Butang ‘Delete’
Kemahiran sebenar seseorang pengacara juga selalunya hanya kelihatan apabila sesuatu tidak berjalan mengikut rancangan.
Selebriti, Jihan Muse pernah menceritakan bagaimana perkataan ‘hiking’ yang disebut secara spontan ketika Gegar Vaganza menjadi tular selepas disalah tafsir penonton.
Menurut Jihan, situasi ketika program live bergerak terlalu pantas sehingga pengacara kadangkala perlu menyambut gurauan pasangan hos tanpa mempunyai banyak masa untuk memproses bagaimana setiap perkataan akan diterima.
Di sinilah tugas host menjadi rumit. Mereka perlu spontan tetapi tidak melampaui batas, kelakar tetapi tidak menyakitkan, cepat tetapi tidak kelam-kabut, dan paling penting, tahu bila perlu bercakap serta bila perlu berhenti.
Satu ayat yang silap boleh menjadi potongan video 20 saat yang tersebar jauh lebih lama daripada program dua jam yang dikendalikan.
Pengacara Hebat Bukan Sekadar Boleh Bercakap, Mereka Boleh ‘Selamatkan’ Situasi
Kadangkala ukuran sebenar seorang hos bukan ketika semuanya berjalan sempurna. Tetapi ketika berlaku sesuatu yang langsung tidak berada dalam skrip.
Pada Gegar Vaganza 5, Nabil Ahmad dan Jihan Muse pernah berdepan detik emosional apabila Zamani tidak mampu meneruskan nyanyian seperti biasa dan seluruh dewan membantu menyanyikan lagunya.
Jihan kemudian berkongsi keserasian dengan Nabil membolehkan mereka mengendalikan keadaan luar jangka itu tanpa perlu berbincang panjang ketika berada di atas pentas.
Momen seperti itu sukar diajar melalui teori semata-mata. Ia datang daripada pengalaman membaca suasana, memahami pasangan hos dan mempunyai keyakinan untuk membuat keputusan dalam beberapa saat.
Chemistry Pun Perlukan Masa
Sebab itulah mengambil dua personaliti popular dan meletakkan mereka bersama tidak semestinya terus menghasilkan pasangan hos yang hebat.
Selepas minggu pertama Kilauan Emas Selebriti, Keanu sendiri meminta orang ramai memberi ruang kepadanya dan Raja Azura membina keserasian.
Raja Azura pula sebelum program bermula melihat gandingan itu daripada perspektif berbeza. Sebagai pengacara senior, dia menganggap industri memang memerlukan pelapis dan melihat peluang bergandingan dengan Keanu sebagai ruang untuk berkongsi ilmu kepada generasi lebih muda.
Ini sebenarnya perkara yang lebih penting daripada debat ‘hos lama lawan hos baharu’. Industri memang perlukan muka baharu. Tetapi muka baharu juga perlukan ruang untuk belajar.
Jadi Adakah Influencer Tak Sesuai Jadi Host?
Tidak. Malah creator mempunyai beberapa kelebihan yang sangat berguna. Mereka sudah selesa dengan kamera, memahami bahasa generasi digital, tahu berinteraksi dengan audiens dan biasanya mempunyai personaliti yang kuat.
Tetapi seperti penyanyi perlu belajar teknik vokal dan pelakon perlu memahami lakonan, pengacaraan juga mempunyai craft sendiri.
Populariti mungkin membuat penerbit berkata, ‘kita mahu dia.’, tetapi latihan dan pengalamanlah yang menentukan sama ada selepas beberapa episod penonton akan berkata, ‘dia memang sesuai jadi host.’
Viral Boleh Buka Pintu, Tapi Kemahiran Buat Orang Kekal
Televisyen memang perlu berubah. Pengacara generasi baharu perlu diberikan peluang, sama seperti generasi Nabil, Jihan, Sherry Alhadad dan pengacara lain suatu ketika dahulu juga perlu bermula dari suatu tempat.
Tetapi satu kesilapan yang industri tidak sepatutnya lakukan ialah menganggap jumlah pengikut di media sosial sebagai sijil kemahiran mengacara.
Kerana apabila lampu studio menyala, rundown berubah, producer bercakap di telinga dan jutaan mata sedang melihat, algoritma tidak boleh menyelamatkan seseorang.
Yang tinggal hanyalah persediaan, pengalaman, chemistry dan kemampuan berfikir pantas. Sebab itu mungkin sesiapa sahaja boleh menjadi viral.
Tetapi tidak semua orang boleh membuat siaran langsung kelihatan mudah. Dan ironinya, apabila seorang pengacara benar-benar hebat dalam tugasnya, penonton mungkin tidak sedar betapa sukarnya kerja itu.
Sumber: mStar, Utusan Malaysia, Gempak, Prospects & BBC






