berita

‘Pahang, Kelantan, Terengganu, Perlis Paling Ramai Penagih Dadah’ – Muhyiddin Yassin

November 12th, 2018 | by Wan
Kini Trending

Fakta ini mungkin sukar untuk diterima oleh segelintir masyarakat namun berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK),  Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perlis mendahului senarai penyalahguna dan penagih dadah paling ramai mengikut nisbah jumlah penduduk di negeri itu.

4 Negeri paling ramai

Menurut laporan Berita Harian, Pahang merekodkan seramai 16,150 penagih dadah diikuti Kelantan (16,918 penagih),  Terengganu (10,576 penagih) dan Perlis (2,123 penagih). Perkara ini didedahkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-undang (JPU) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Negeri Sembilan di kedudukan kelima dengan 7,503 penagih diikuti, Pulau Pinang (9,684 penagih); Melaka (4,140 penagih); Kedah (9,691 penagih); Johor (13,003 penagih); Perak (8,596 ); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (8,270 penagih); Sabah (9,513 penagih); Selangor (13,123 penagih) dan Sarawak (4,414 penagih).

Melayu paling ramai

Bangsa Melayu mendahului senarai penagih paling ramai iaitu 88,522 orang, diikuti Cina seramai 7,883 penagih, India 7,689 penagih, Pribumi Sabah 4,274 penagih dan Pribumi Sarawak 713 penagih. 105,632 penagih merupakan penagih lelaki manakala 4,206 pula penagih perempuan.

Menerusi laporan itu juga, golongan belia mencatatkan jumlah penagih paling ramai iaitu 80,598 orang penagih atau 73.4 peratus adalah dalam kalangan belia berusia antara 19 hingga 39 tahun; 26,197 penagih pula adalah golongan dewasa berusia antara 40 tahun ke atas dan 3,043 penagih pula adalah remaja (13 hingga 18 tahun).

Secara keseluruhan, jumlah penyalahguna dan penagih dadah di seluruh negara sejak 2014 hingga September 2018 adalah seramai 133,684 orang iaitu sekitar 0.40 peratus berbanding jumlah penduduk di negara ini.

Sumber: Berita Harian

SKIP THIS AD ×