Pelakon, Nelydia Senrose dan suaminya, Mohd Hafez Halimi berangkat ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji, semalam. Nelydia menerusi perkongsian di Instagram meluahkan rasa syukur apabila dipilih menjadi tetamu Allah untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Gembira dan tawaduk
Nelydia memuat naik gambar ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut memohon doa agar mereka selamat pergi dan balik.
Saya Nik Zaris Nelydia dan suami tersayang, Mohd Hafez Halimi dengan rasa penuh kesyukuran, gembira dan tawaduk, di atas kebesaran Sang Pencipta yang Maha pengasih dan mengasihani yang mengizinkan kami untuk menjadi Duyufurrahman (tetamu Allah) bagi menunaikan ibadah haji.
Ini adalah anugerah Allah yang maha agung buat kami berdua. Saya dengan penuh rasa kerdil dan rendah diri ingin memohon seribu kemaafan kepada semua yang mengenali saya. Segala salah dan silap, terkasar bahasa yang saya sedari mahupun tanpa sengaja atau terlepas pandang selama ini. Halalkan makan minum kami.
Tambah Nelydia, dapat menunaikan ibadah haji merupakan anugerah yang paling berharga untuk dirinya dan suami pada tahun ini.
Segala yang saya hajatkan, semua yang saya impikan, apa yang saya bayangkan, tidak akan terlawan dengan anugerah daripada-Nya ini, yang tidak akan mungkin saya dustakan, sehingga ke akhir hayat.
Sumber: Nelydia Senrose