Penyanyi, Liza Hanim meluahkan rasa sedih dan terkilan apabila menerima komen negatif daripada seorang netizen yang mendakwa eranya sebagai anak seni sudah berakhir.

Artikel Berkaitan: Liza Hanim Syukur Marsya Juara TTM – ‘Saya Doa Biarlah Tempat Kedua Milik Saya, Tempat Pertama Milik Anak’

Artikel Berkaitan: Marsya Anak Liza Hanim Juara Talk To My Manager

Cuba menjatuhkan semangat

Ketika ditemui OhBulan, Liza Hanim atau nama penuhnya Haliza Hanim Abd Halim, 45, berkata meskipun dia sedar bahawa bukan semua orang akan menyukai setiap hasil kerjanya, namun komen yang memperlekeh dan cuba menjatuhkan semangatnya itu tetap membuatkan hatinya terluka.

Sebenarnya saya tak perlu melayan dan bersuara pun sebab sebelum ini lebih banyak kecaman yang saya terima.

Entah kenapa saya terbaca komen di muzik video saya YouTube itu, ‘Your time is over’, saya tergamam dan membuatkan saya tiada nilai langsung ke?

Bila saya tengok semula, dia hanya ingatkan apa sahaja yang kita lakukan, bukan semua orang suka tetapi daripada ada yang tidak suka tu, memang ada saja orang yang suka.

Jadi, saya perlu fokus pada pasaran saya sahaja lah.

Liza berkata demikian selepas selesai acara drama Sumpah Ibuku yang berlangsung di Media Prima pada 18 November.

Percaya pada rezeki

Mengulas lanjut, Liza menjelaskan bahawa tugasnya sebagai penyanyi adalah rezeki yang diberikan Allah dan dia bertekad untuk terus memanfaatkan peluang itu dengan baik. 

Menyanyi adalah sumber rezeki saya, awak siapa untuk berkata sebegitu rupa?

Saya percaya pada rezeki yang Allah limpahkan, dan siapa lah saya jika tidak menggunakannya dengan baik.

Selagi Allah izinkan, suami saya merestui dan masih ada kepercayaan, saya akan teruskan.

Dalam pada itu, Liza turut berkongsi mengenai single terbaharunya berjudul Jeda Derita yang merupakan hasil ciptaan Tomok dan lirik ditulis oleh Fedtri Yahya.

Antara sebab saya pilih Jeda Derita ini kerana komposer dan liriknya. Komposer adalah Tomok dan yang menulis lirik adalah Fedtri Yahya, sahabat saya yang sudah tahu apa yang saya lalui.

Jadi saya rasa ini menarik dan buat satu cerita yang cantik.