
Pelakon Nina Kho mengakui menerima layanan yang istimewa sepanjang menjalankan penggambaran dengan produksi di negara China.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Nina Kho Pernah Diejek Kerana Berdarah Kacukan – ‘Masa Sertai Pertandingan Ratu Cantik, Mereka Kata Muka Saya Eksotik’
Artikel Berkaitan: Nina Kho Rasa Diri Nampak Cantik Pakai Tudung – ‘Mak Saya Pun Puji’
Layanan istimewa
Ketika ditemui OhBulan!, Nina atau nama lengkapnya Nina Kho Siew Ching memaklumkan sudah menjadi kebiasaan produksi di sana untuk memberi layanan berbeza terhadap pelakon dan kru.
Menerusi pemerhatiannya, pelakon utama akan disediakan bilik khas selain menerima hidangan yang mewah.
Di China, mereka akan beri layanan berbeza. Sebagai contoh untuk watak utama, mereka akan sediakan sebuah bilik khas.
Malah makanan pun mereka beza-bezakan. Untuk penerbit, pengarah dan pelakon utama mereka akan diberi makanan dengan lapan jenis lauk, bungkusan pun lebih cantik.
Bila saya lihat makanan untuk kru, mereka hanya diberikan bungkusan biasa sahaja. Mereka juga pernah melarang saya makan makanan kru sedangkan di sini pelakon dan kru boleh makan bersama.
Nina berkata demikian ketika ditemui pada sidang media dan tayangan drama premium Astro Original, Honey Trap yang berlangsung di Suria KLCC, Kuala Lumpur pada Selasa.
Berbeza di Malaysia
Bercerita lanjut, aktres berusia 33 tahun itu pernah melihat pelakon tambahan dimarahi berikutan dia mahu menumpangkan mereka bersama untuk pulang.
Saya nak tumpangkan dua orang pelakon tambahan tetapi mereka dihalau dan dimarah.
Saya terkejut sebab kereta saya besar dan saya tak kisah untuk tumpangkan mereka sebab hostel mereka berdekatan dengan hotel saya.
Ketika makan malam bersama pun mereka minta saya untuk duduk di hadapan sedangkan di sini kita bebas untuk duduk di mana-mana.
Walau bagaimanapun, Nina merasakan budaya seperti itu tidak seharusnya berlaku malah dia lebih selesa bekerja dalam persekitaran yang memberi layanan sama rata seperti di Malaysia.
Saya kurang selesa apabila dilayan seperti itu kerana di Malaysia kita layan semua pelakon dan kru sama sahaja.
Tiada siapa yang lebih tinggi atau rendah antara satu sama lain.
Dalam perkembangan lain, Nina bersama Irfan Zaini, Syarul Ezani, Ungku Ismail dan ramai lagi pelakon hebat membintangi siri drama terbaharu itu yang berkisarkan tentang aksi, dendam dan politik.
Untuk info, drama tersebut bakal ditayangkan pada 20 Jun ini.