Meskipun perkahwinan di ambang perpisahan, penyanyi, Datuk Nora Ariffin mengakui hubungan dengan suami, Dr. Rushdi Ramli masih dalam keadaan baik.

Artikel Berkaitan: Nora Ariffin ‘Bulat Hati’ Mahu Cerai Dengan Dr. Rushdi

Artikel Berkaitan: ‘Suami Akur Dengan Permintaan Individu Itu Untuk Ceraikan Dia, Saya & Anak Tak Pernah Paksa’ – Madu Nora Ariffin

Rujuk agamawan

Jelas pemilik nama lengkap Wan Norafizah Wan Ariffin, 52, keputusan untuk berpisah bukan dibuat dalam keadaan terburu-buru, sebaliknya sudah merujuk dengan ahli agamawan.

Setakat ini, hubungan antara saya dan suami masih baik. Kami tidak bermusuhan dan masing-masing sedar akan situasi yang berlaku.

Saya sendiri tidak membuat keputusan terburu-buru. Saya merujuk kepada mufti, ustaz dan individu berpengalaman dalam hal-hal syariah sebelum memfailkan perceraian ini.

Perkara ini juga saya kongsi dengan ahli keluarga serta anak-anak. Alhamdulillah, anak-anak memahami.

Nora berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestar usai menfailkan permohonan cerai terhadap suami, pada Isnin.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mei depan bagi sebutan pertama kes perceraian Nora dan Dr. Rushdi.

Batalkan hasrat

Disoal adakah akan membatakan hasrat untuk berpisah jika wujud sesi pujuk-memujuk, Nora mengakui tiada jawapan kerana tidak tahu apa yang ada dalam hati suaminya.

Wallahu’alam. Saya tidak tahu apa ada dalam hati seseorang. Saya pun tidak pasti. Buat masa ini, saya hanya buat apa yang sepatutnya saya dan selebihnya saya berserah kepada Allah. Kalau dia nak pujuk, tunggu sahaja 6 Mei nanti.

Kami masih tinggal serumah ketika sambutan Hari Raya tempoh hari dan menghadiri jemputan bersama. Kami tidak bergaduh, tetapi kini hidup agak berjauhan. Saya banyak mengalah dan tidak bertanya lebih-lebih. Saya serahkan segalanya kepada dia.

Sementara itu, ditanya mengenai maksud pengabaian dan keselamatan yang pernah didedahkan sebelum ini, pelantun lagu Di Persimpanvan Delima enggan mengulas lanjut.

Perkahwinan kami sudah memasuki tahun keenam dan selama ini bahagia. Namun, gangguan pihak ketiga yang tidak dapat kami dedahkan secara terperinci menyebabkan saya terpaksa mengambil tindakan memfailkan cerai.

Terdahulu, Nora mengejutkan ramai apabila memuat naik foto hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat dipercayai ingin memfailkan perceraian terhadap suami selepas didakwa didesak pihak ketiga.

Sementara itu, Dr. Rushdi pula tampil bersuara memihak Nora dan mengakui menerima tekanan daripada pihak lain agar berpisah dengan Nora.

Baru-baru ini, Nora sekali lagi meluahkan hasrat untuk memfailkan perceraian selepas gagal menemui titik penyelesaian.

Hujung 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Dr. Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya.

Nora sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Johan Nawai pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.