Penyanyi Datuk Nora Ariffin mengulas situasi semasa sebutan pertama kes penceraian bersama suami, Dr Rushdi Ramli pada 6 Mei lalu.

Artikel Berkaitan: Nora Ariffin Gembira Suami Tak Lafaz Cerai – ‘Rupa-Rupanya Dia Masih Sayang Saya’

Artikel Berkaitan: ‘Tiada Siapa Yang Berkahwin Mahu Bercerai’ – Nora Ariffin

Silap luah perasaan

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Wan Norafizah Ariffin, 52, akui kata-katanya setelah selesai perbicaraan sebutan pertama perceraian telah menimbulkan pelbagai reaksi wargamaya.

Sebenarnya saya dah 70 peratus bersedia untuk dilepaskan sebelum perbicaraan bermula. 

Bila dia (suami) tolak permohonan untuk bercerai, saya terkejut. 

Jadi bila wartawan temu ramah ketika itu, ayat itu terkeluar secara spontan. Itu sebenarnya bukan saya seronok. 

Saya tahu saya tak sepatutnya berkata sedemikian.

Sebelum itu, dia memang tidak cakap apa-apa. Saya ada cakap dengan dia untuk kita selesaikan hal ini secara baik. 

Sebab itu saya terkejut bila dia tolak sebab ingat dia setuju untuk berpisah.

Nora berkata demikian pada Pelancaran Muzik Video lagu anaknya, Putri Dahlia yang berjudul ‘Aku Ada’ kolaborasi istimewa bersama penyanyi Zaki Yamani di IOI Mall, Puchong, baru-baru ini.

Berkongsi lebih lanjut, pelantun lagu ‘Di Persimpangan Dilema’ itu menyatakan dia menjalani kehidupan seperti biasa dan hanya menunggu hari sebutan kedua perceraian pada 4 Jun ini.

Sebelum ini, Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling bagi memfailkan permohonan perceraian selepas rumah tangga gagal menemui titik penyelesaian pada 21 April yang lalu.

Hujung 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Dr. Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya.

Nora sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawai pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.