Pelakon, Nora Danish menyangkal dakwaan yang mengatakan dia sudah rujuk kembali dengan bekas suami, Nedim Nazri.

Artikel Berkaitan: Nora Danish Doa Di Makkah, Minta Dipertemukan Jodoh – ‘Tak Pernah Fobia Dengan Perkahwinan’

Artikel Berkaitan: Nora Danish Jual Semua Kasut Tumit Tinggi Selepas Fahami Surah Al-Humazah, Tak Mahu Dihumban Ke Neraka Al-Hutamah

Nafi dah rujuk

Nora atau nama sebenar Nora Mohd. Danish Hanif, 42, berkata, berkemungkinan dakwaan itu timbul disebabkan hubungan baik dan keakraban antara mereka meskipun bukan lagi suami isteri.

Ini pertama kali saya dengar dakwaan mengatakan saya sudah rujuk. Ingin saya maklumkan di sini, perkara itu tidak benar. Saya menyangkal dakwaan tersebut.

Mungkin keakraban antara kami yang buatkan orang keliru atau salah faham. Dia memang betul-betul ‘soulmate’ saya. Kami memang tak boleh bersama tapi kami faham sesama sendiri.

Nora berkata demikian ketika ditemui di majlis Pelancaran Amber Oasis Abaya Collection di Glasshouse, Seputeh pada Rabu.

Dalam pada itu, Nora berkata, tiada perancangan dalam masa terdekat untuk mereka kembali bersama.

Malah, dia lebih selesa membiarkan hubungannya bersama Nedim kekal dalam keadaan harmoni memandangkan mereka pernah melalui fasa kehidupan berumah tangga selama lebih sedekad.

Situasi kami adalah pernah hidup bersama dan memahami sesama sendiri dan itu sahaja, tidak lebih dari itu. Memang tiada langsung ura-ura rujuk, cuma kami selesa dengan keadaan hubungan kami ini.

Disoal mengenai jodoh, pelakon yang popular menerusi drama Puteri itu mengakui tidak pernah menutup pintu hati untuk berkahwin lagi. Namun, membiarkan perkara itu berlaku dengan izin-Nya.

Saya memang dalam fasa untuk mengenali diri dan mendekatkan diri dengan Allah. Dalam fasa itu, memang saya banyak mendekati juga golongan ustaz, habib, maulana untuk saya mengisi ruang hati saya yang kosong ini.

Kalau ada yang mahu mendekati saya untuk berkahwin, memang ada. Cuma saya ada letakkan batasan bahawa saya masih belum bersedia untuk berkahwin. Fokus saya sekarang ini adalah untuk mengenali diri saya sahaja.

Kalau Allah berikan saya jodoh, saya tak mahu terburu-buru dalam mengejar perkahwinan seterusnya hanya kerana saya sunyi.

Imbas kembali, Nora dan Nedim Mohamad Nazri, 41, bercerai pada Jun lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl, 6.

Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan memiliki anak lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008.