Pelakon, Nora Danish menyifatkan peluang untuk menunaikan ibadah puasa di Tanah Suci sebagai satu pengalaman bermakna yang tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.

Artikel Berkaitan: Nora Danish Tumpang Gembira Lihat Nedim & Nadia Brian Bahagia – ‘Itu Antara Doa Saya’

Umrah & Ramadan di Makkah

Nora, 43, berkata, dia berasa amat teruja kerana ini merupakan kali pertama berpeluang merasai pengalaman berpuasa di Makkah, selain turut membawa anak sulungnya menunaikan ibadah umrah.

Doakan saya. Ini kali pertama dalam hidup saya dapat merasai pengalaman berpuasa di Makkah dan saya sangat teruja menantikannya. Saya bakal menunaikan umrah dari 15 hingga 22 Februari ini.

Saya juga akan pergi bersama anak saya. Ini pengalaman pertama untuk dia kerana tidak lama lagi anak sulung saya akan melanjutkan pelajaran ke kolej.

Nora berkata demikian ketika ditemui pada sesi rakaman audio Habis Cerita Podcast yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini.

Podcast berkenaan turut menampilkan dua rakan selebritinya iaitu penyanyi terkenal Datuk Seri Rossa dan usahawan Natasha Ozeir sebagai hos bersama.

Dalam pada itu, Nora turut berkongsi perasaannya yang menganggap perjalanan umrah kali ini hadir pada waktu yang sangat tepat.

Sudah tentu banyak doa yang akan saya mohon di hadapan Kaabah nanti. Semua ini adalah kuasa Allah. Saya rasa ini rezeki daripada-Nya kerana dapat menunaikan umrah ketika saya benar-benar memerlukannya.

Mengulas mengenai persiapan menyambut Ramadan, aktres itu berkata rutin bulan puasanya tidak banyak berubah dan lebih tertumpu kepada momen bersama insan tersayang.

Seperti Ramadan sebelum ini, saya akan kerap ke rumah ibu kerana kami tinggal berdekatan. Biasanya ibu yang akan sediakan juadah berbuka.

Rutin puasa juga sama, saya akan luangkan masa bersama keluarga dan anak-anak. Sepanjang Ramadan, saya juga akan lebih banyak berada di kafe milik saya. Dari dulu lagi, memang saya tidak bekerja dalam bulan puasa.