Noraniza Idris

Penyanyi Noraniza Idris mendedahkan sudah berputus asa dan hampir menutup kilang operasi produk muruku miliknya apabila syarikat mengalami kerugian besar mencecah RM630,000 akibat penipuan oleh sebuah akademi keusahawanan.

Artikel Berkaitan: Noraniza Idris Keluar Wang Peribadi Bayar Tunggakan Gaji Pekerja – ‘Asalkan Kebajikan Staf Terjaga’

Artikel Berkaitan: Noraniza Idris Buat Laporan Polis, Dakwa Jadi Mangsa ‘Scam’ Akademi Keusahawanan – ‘Saya Rugi Hampir RM630,000’

Sujud syukur

Noraniza Idris

Noraniza, 57, bagaimanapun membatalkan niat tersebut apabila isu itu mendapat perhatian Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) sekali gus perniagaannya dapat diselamatkan dan kembali bernafas semula.

Perasaan seronok yang luar biasa dan bersyukur. Selepas saya jatuh terduduk hingga hampir nak tutup kilang, Allah turunkan satu nikmat yang besar. MYDIN datang ibaratnya penyelamat untuk syarikat ini.

Bayangkan sebelum ini saya terpaksa rehatkan pekerja dan hanya tinggal empat orang. Namun sekarang perlu tambah semula pekerja sehingga 36 orang untuk bantu, malah operasi kilang berjalan selama 24 jam dibahagi kepada tiga ‘shift’.

Sewaktu dapat berita gembira daripada MYDIN, saya, suami dan anak pergi satu stor kami sujud syukur bersama-sama. Kami menadah tangan berterima kasih kepada Allah. Tak tahu nak gambarkan perasaan itu bagaimana.

Noraniza berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran kerjasama produk Che Ani Premium bersama Mydin di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya, Selangor pada Isnin.

Muruku keluaran Che Ani Premium akan diedarkan ke seluruh MYDIN Semenanjung Malaysia bermula Ramadan ini.

Terus komited

Noraniza Idris

Biarpun diuji dengan pelbagai dugaan, Noraniza berkata, dia enggan terlalu lama larut dalam emosi sedih dan tidak mahu lagi menoleh ke belakangan. Sebaliknya, ingin memberi fokus kepada perniagaan yang kini kembali aktif.

Pernah saya salahkan diri sendiri, apa yang terjadi mungkin disebabkan saya. Ada timbul rasa dah tak semangat nak berniaga. Tetapi, saya tak mahu lagi menoleh ke belakangan.

Apa yang jadi sebelum ini biarlah. Saya sekarang ini mahu fokus dengan transformasi baharu syarikat. Saya memang jenis tak mahu fikir apa masalah yang telah berlaku.

Saya pegang prinsip lupakan apa sahaja yang membuat saya sedih. Saya percaya setiap individu akan berubah dan sedar akan kesilapan mereka.

Mungkin juga sebab sifat saya itu ramai yang datang untuk tawarkan sesuatu sampai saya ditipu.

Sementara itu, Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin, berkata, pihaknya sentiasa cakna terhadap perkembangan usahawan tempatan dan komited untuk menyokong produk berkualiti yang berpotensi di pasaran.

Kami melihat produk murukku yang dihasilkan oleh Che Ani Premium menepati piawaian pemasaran MYDIN. Justeru itu, kami tampil untuk membantu mengedarkan produk ini ke pasaran yang lebih luas.

Terdahulu, Noraniza mendakwa syarikat miliknya dianaiya sebuah akademi latihan keusahawanan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM630,000.

Pelantun lagu Dikir Puteri itu kemudian tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam.