Selepas diugut saman, seorang pengguna twitter yang dikenali sebagai Azrulfitri Azimi meminta maaf kepada pasangan pelakon iaitu Aeril Zafrel dan Wawa Zainal kerana menuduh mereka mendapat bayaran dengan mempromosikan parti Perikatan Nasional (PN) di TikTok.
Tuduh Aeril dan Wawa dibayar sokong PN?
Menerusi satu ciapan sebelum ini, individu terbabit menuduh pasangan suami isteri ini dibayar untuk menghasut rakyat menyokong PN ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lalu. Ciapan tersebut secara tidak langsung mendapat respon daripada Aeril yang menafikan dakwaan tersebut.
Fitnah ni, banyak kali dah aku jawab, tapi kali ni terpaksa lafazkan. DEMI ALLAH satu sen pun aku tak ambikl!
Tidak terhenti di situ, Aeril seakan memberi bayangan mahu mengambil tindakan undang-undang atas tuduhan tidak berasas itu sekiranya individu terbabit tidak membuat permohonan maaf dalam tempoh 12 jam selain menurunkan hantaran tersebut di media sosial.
Boleh saman ke statement dia ni? 12 jam dari sekarang. Sila mohon maaf & delete.
Susulan daripada itu, individu terbabit telah tampil membuat permohonan maaf dan akui kekhilafannya yang bersangka buruk terhadap pasangan ini.
Saya Azrulfitri Azimi dengan ini memohon maaf atas tuduhan saya ke atas Aeril melalui ciapan pada 1 Feb yang menyatakan bahawa Encik Aeril dan isteri mendapat bayaran daripda PN untuk mempromosi parti itu di TikTok.
Sememangnya, selama ini saya telah bersangka buruk yang Encik Aeril dan isteri telah mendapat bayaran, dan banyak ura-ura di media sosial juga menyatakan ramai influencer telah mendapat bayaran daripada PN untuk tujuan promosi, Sesungguhnya, khilaf itu di pihak saya kerana tidak memeriksa betul-betul.
Menerusi ruangan komen, Aeril dilihat menerima permohonan maaaf daripada Azrulfitri berhubung isu tersebut.
Sumber: Aeril Zafrel, Azrulfitri Azimi