Bil elektrik rumah biasanya meningkat disebabkan oleh penggunaan elektrik yang tinggi, penggunaan alat elektrik untuk tempoh yang lama, penggunaan penghawa dingin, pemilikan peralatan yang tidak cekap tenaga, serta perubahan rutin harian di rumah.
Namun, jumlah bil elektrik tidak dipengaruhi oleh penggunaan di rumah semata-mata. Kos penjanaan elektrik turut dipengaruhi oleh faktor global seperti harga bahan api dunia, kadar pertukaran mata wang asing, dan kos sebenar penjanaan. Perubahan ini dicerminkan melalui mekanisme pelarasan kos bahan api.
Faktor pasaran global seperti harga gas atau arang batu berada di luar kawalan pengguna. Walau bagaimanapun, pengguna mempunyai kawalan penuh ke atas kadar dan cara penggunaan elektrik di rumah sendiri.
Apakah punca utama bil elektrik rumah tinggi?
Bil elektrik tinggi selalunya berkait dengan jumlah penggunaan dalam kWj yang tinggi.
Antara faktor ialah:
| Faktor | Bagaimana ia menyumbang kepada peningkatan penggunaan? |
| Penghawa dingin digunakan untuk tempoh yang lama | Penggunaan elektrik meningkat apabila penghawa dingin beroperasi selama berjam-jam |
| Cuaca lebih panas | Penghawa dingin dan kipas digunakan lebih kerap |
| Peningkatan bilangan penghuni | Lebih banyak lampu, peralatan, dan sistem penyejukan digunakan |
| Peralatan elektrik digunakan terlalu lama | Penggunaan elektrik yang bertambah setiap hari boleh menyebabkan jumlah penggunaan bulanan meningkat |
| Peralatan kurang cekap tenaga | Peralatan yang kurang cekap tenaga menggunakan lebih banyak elektrik untuk menjalankan fungsi yang sama. |
| Kapasiti penghawa dingin tidak sesuai | Penggunaan elektrik boleh meningkat apabila kapasiti penghawa dingin tidak sepadan dengan keperluan ruang |
| Perubahan rutin harian | Bekerja dari rumah, cuti sekolah, atau kehadiran tetamu boleh mengubah corak penggunaan elektrik |
Perubahan kecil dalam amalan harian boleh memberikan kesan yang amat ketara terhadap jumlah bil bulanan.
Adakah penghawa dingin menyebabkan bil elektrik tinggi?
Ya. Penghawa dingin merupakan antara penyumbang terbesar kepada beban elektrik rumah kerana ia menyerap kuasa yang tinggi dan sering digunakan dalam tempoh yang lama. Ketika musim panas, ia kerap dihidupkan lebih awal atau dibiarkan beroperasi sepanjang malam.
Langkah Penjimatan Penghawa Dingin:
- Tetapkan Suhu Cekap: Tetapkan suhu sekitar 24°C hingga 26°C mengikut saranan TNB.
- Kawal Persekitaran Bilik: Tutup rapat pintu dan tingkap semasa penghawa dingin beroperasi.
- Elak Pembaziran: Matikan sistem penyejukan bagi bilik yang kosong.
Peralatan elektrik yang menyebabkan bil tinggi
Peralatan berkuasa tinggi atau yang digunakan dalam tempoh panjang lebih berpotensi meningkatkan jumlah penggunaan elektrik bulanan.
Antara peralatan yang perlu diberi perhatian ialah penghawa dingin, peti sejuk, pemanas air, pengering pakaian, serta peralatan memasak berkuasa tinggi.
Walau bagaimanapun, penggunaan elektrik tidak bergantung pada kuasa peralatan semata-mata. Cerek elektrik mungkin menggunakan kuasa tinggi, tetapi biasanya hanya beroperasi selama beberapa minit.
Sebaliknya, peti sejuk menggunakan kuasa yang lebih rendah pada satu-satu masa, namun terus beroperasi sepanjang hari.
Sebab itu, formula yang lebih berguna ialah:
kuasa peralatan + tempoh penggunaan + kekerapan penggunaan = kesan kepada penggunaan bulanan.
Adakah peralatan lama menyebabkan bil elektrik lebih tinggi?
Peralatan lama mungkin menggunakan lebih banyak elektrik apabila kecekapan semakin menurun, namun usia peralatan bukan satu-satunya faktor yang menentukan penggunaan tenaga.
Semasa membeli peralatan baharu, TNB menyarankan pengguna memilih model dengan penarafan kecekapan tenaga 4 atau 5 bintang. Peralatan yang lebih cekap dapat menggunakan tenaga dengan lebih optimum dan membantu mengurangkan penggunaan elektrik dalam jangka panjang.
Bagi peralatan yang digunakan setiap hari, seperti penghawa dingin dan peti sejuk, perbezaan tahap kecekapan boleh memberi kesan yang ketara apabila dikumpulkan selama beberapa tahun.
Bagaimana cara kurangkan bil elektrik setiap bulan?
Mulakan dengan menilai penggunaan elektrik harian kerana perubahan kecil yang dilakukan secara konsisten boleh memberi kesan ketara terhadap jumlah bil bulanan.
Antara langkah yang boleh dilakukan ialah:
- matikan peralatan apabila tidak digunakan;
- elakkan penghawa dingin beroperasi di bilik kosong;
- tetapkan penghawa dingin sekitar 24°C hingga 26°C;
- gunakan lampu LED;
- pilih peralatan cekap tenaga apabila perlu menggantikan peralatan lama;
- gunakan mesin basuh hanya apabila muatan penuh;
- kurangkan tempoh fungsi “keep warm” pada peralatan jika tidak diperlukan; dan
- pantau penggunaan supaya peningkatan dapat dikesan lebih awal.
TNB turut menyenaraikan penggunaan lampu cekap tenaga, penggunaan penghawa dingin secara cekap, dan mematikan peralatan yang tidak diperlukan sebagai langkah penjimatan tenaga di rumah.
Bagaimana nak tahu bahagian rumah mana paling banyak guna elektrik?
Lihat perubahan pada rutin dan tempoh penggunaan sebelum cuba menjimatkan semua perkara serentak.
Contohnya, jika penggunaan mula meningkat selepas penghawa dingin digunakan lebih lama pada waktu malam, penyejukan mungkin menjadi tempat terbaik untuk bermula.
Jika penggunaan meningkat selepas lebih ramai bekerja atau belajar dari rumah, semak peralatan yang digunakan sepanjang siang.
Bagi pelanggan yang mempunyai Meter Pintar, pemantauan penggunaan melalui myTNB juga boleh membantu mengenal pasti perubahan corak penggunaan dengan lebih awal. TNB menyediakan ciri pemantauan untuk membantu pelanggan mengurus penggunaan dan menetapkan bajet tenaga.
Bolehkah cara dan waktu menggunakan elektrik membantu menjimatkan bil?
Ya. Mengurangkan jumlah penggunaan adalah langkah utama, manakala sesetengah pelanggan juga boleh menjimatkan dengan mengubah waktu penggunaan.
Bagi pelanggan yang memilih tarif Time of Use (ToU), kadar berbeza digunakan pada waktu puncak dan luar puncak.
Waktu puncak semasa ialah 2 petang hingga 10 malam, Isnin hingga Jumaat. Waktu luar puncak termasuk tempoh lain pada hari bekerja, serta sepanjang hari pada Sabtu, Ahad, dan cuti umum yang ditetapkan.
Skim ToU sesuai sekiranya anda mampu mengalihkan penggunaan peralatan berkuasa tinggi (seperti mesin basuh atau pengering pakaian) ke waktu luar puncak.
Kenapa bil masih boleh berubah walaupun saya cuba berjimat?
Meskipun anda berjaya mengurangkan unit kWj, jumlah akhir bil masih dipengaruhi oleh komponen kos luaran.
Harga bahan api dan kadar pertukaran asing boleh berubah akibat keadaan krisis bekalan tenaga. Kos penjanaan juga boleh dipengaruhi oleh jaminan bekalan tenaga dan perkembangan krisis asia barat.
Bagi pelanggan yang tertakluk kepada AFA, perubahan kos ini ditunjukkan sebagai pelarasan dalam bil. Di bawah aturan semasa, pelanggan Domestik yang menggunakan 800 kWj dan ke bawah sebulan tidak dikenakan caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (Automatic Fuel Adjustment – AFA), cukai jualan dan perkhidmatan sebanyak 8%, dan caj peruncitan sebanyak RM10.
Sebab itu, penjimatan tenaga masih penting. Menggunakan kurang elektrik mengurangkan bahagian penggunaan yang boleh anda kawal sendiri.
FAQ
Kenapa bil elektrik rumah tinggi setiap bulan?
Penggunaan kWj yang tinggi akibat pengoperasian penghawa dingin yang lama, penggunaan peralatan secara berterusan, bilangan penghuni yang ramai, atau faktor komponen kos luaran.
Apakah cara paling mudah untuk kurangkan bil elektrik?
Amalkan penggunaan cekap tenaga.
Adakah suhu penghawa dingin mempengaruhi bil?
Ya. TNB menyarankan suhu sekitar 24°C hingga 26°C untuk penggunaan penghawa dingin yang lebih cekap.
Adakah tutup suis boleh menjimatkan elektrik?
Ya. Pastikan peralatan dimatikan apabila tidak digunakan untuk mengurangkan penggunaan elektrik.
Adakah peralatan 5 bintang boleh kurangkan bil elektrik?
Ya. Peralatan 5-bintang menggunakan tenaga elektrik yang lebih rendah untuk prestasi yang sama. Penjimatan sebenar bergantung pada kapasiti dan tempoh penggunaan harian.
Adakah cuaca panas boleh menyebabkan bil naik?
Ya. Cuaca panas boleh menyebabkan penghawa dingin dan kipas digunakan lebih lama, lalu meningkatkan penggunaan bil elektrik.
Kenapa bil masih tinggi walaupun saya sudah berjimat?
Semak sama ada penggunaan kWj benar-benar berkurang. Jumlah bil juga boleh dipengaruhi oleh kadar dan komponen lain, termasuk perubahan kos penjanaan bagi pelanggan yang terkesan.
Nota: Maklumat tarif dan aturan berkaitan AFA dalam artikel ini disemak pada September 2026. Semak dengan TNB untuk info terkini kerana kadar AFA berubah pada setiap bulan
Artikel ini ditaja oleh Tenaga Nasional Berhad.








![[VIDEO] Diva M Hadiah Kereta RM100,000 Kepada Pekerja Setia](https://asset.ohbulan.com/2026/10/diva-M-4.jpg)