Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) boleh menambah atau mengurangkan bil elektrik pelanggan yang tertakluk kepadanya, bergantung pada jumlah elektrik (kWh) yang digunakan dan kadar AFA bagi bulan tersebut. 

Jika kadar AFA berbentuk surcaj, jumlah itu ditambah pada bil. Jika berbentuk rebat, jumlah itu mengurangkan bil.

TNB mengumumkan pada 17 September 2026 bahawa had pengecualian bagi pengguna elektrik domestik akan dinaikkan daripada 600kWj kepada 800kWj sebulan. 

Melalui keputusan ini, kesemua pengguna domestik TNB dengan penggunaan 800kWj dan ke bawah sebulan akan dikecualikan daripada dikenakan caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (Automatic Fuel Adjustment – AFA), cukai jualan dan perkhidmatan sebanyak 8%, dan caj peruncitan sebanyak RM10 di dalam bil elektrik bulanan mereka. Pengukuhan perlindungan tambahan ini akan berkuat kuasa bermula penggunaan elektrik September 2026 hingga 31 Disember 2026.

AFA ialah mekanisme pelarasan bulanan bagi Caj Penjanaan. Menurut Suruhanjaya Tenaga (ST), pelarasan ini mengambil kira perubahan dalam harga bahan api, kos di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dan Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA), kos terselaras Tenaga Boleh Baharu serta kos penjanaan lain.

Bagaimana jumlah AFA pada bil elektrik dikira?

Bagi pelanggan domestik yang tertakluk kepada AFA, jumlah AFA dikira dengan mendarabkan penggunaan elektrik bulanan dengan kadar AFA bagi bulan tersebut.

Formula asasnya ialah:

Jumlah AFA = penggunaan bulanan (kWj) × kadar AFA (sen/kWj)

Untuk mengira dalam Ringgit, tukarkan kadar daripada sen kepada Ringgit terlebih dahulu.

Sebagai contoh, andaikan kadar AFA bagi sesuatu bulan ialah +3.67 sen/kWj dan sebuah rumah menggunakan 800 kWj:

800 kWj × 3.67sen = RM29.36

Dalam contoh ini, komponen AFA ialah RM29.36 sebagai surcaj.

Jika kadar bagi bulan tersebut ialah negatif, pengiraan dibuat dengan cara yang sama tetapi nilainya menjadi rebat yang mengurangkan bil.

TNB menerangkan bahawa kadar AFA digunakan bagi setiap kWj yang terpakai kepada pelanggan dan jumlah itu kemudian ditambah kepada bil jika berbentuk surcaj atau ditolak jika berbentuk rebat.

Penting untuk diingat bahawa AFA bukan jumlah keseluruhan bil elektrik. Bil turut mengandungi komponen lain seperti Caj Tenaga, Caj Kapasiti, Caj Rangkaian dan, jika berkenaan, Caj Peruncitan, cukai serta Insentif Cekap Tenaga.

Bagaimana AFA memberi kesan kepada jumlah bil saya?

Kesan AFA bergantung pada kadar AFA dan jumlah elektrik yang anda gunakan.

Sebagai contoh, kadar AFA efektif bagi September 2026 ialah +3.67 sen/kWj. Kadar tersebut ialah surcaj.

Jika sebuah rumah menggunakan 900 kWj:

900 kWj × 3.67sen = RM33.03

Ini bermakna komponen AFA menambah RM33.303 kepada caj bulan tersebut, sebelum mengambil kira cukai atau komponen bil lain yang terpakai.

Penggunaan bulananAFA +3.67 sen/kWjKesan AFA
800 kWj dan ke bawahDikecualikanRM0
801 kWj801 × RM0.0367+RM29.40
900 kWj900 × RM0.0367+RM33.03
1,200 kWj1,200 × RM0.0367+RM44.04

Jadual ini hanya menunjukkan komponen AFA berdasarkan kadar Ogos 2026, bukan jumlah penuh bil elektrik.

Jika penggunaan melebihi 800 kWj, adakah AFA hanya dikira pada lebihan?

Tidak. Aras 800 kWj ialah syarat kelayakan pengecualian penuh, bukannya penolakan blok.

Jika penggunaan bulanan anda melebihi 800 kWj (contohnya 900 kWj), caj AFA tidak dikira pada 100 kWj lebihan sahaja. Sebaliknya, caj AFA dikenakan ke atas keseluruhan 900 kWj.

Contoh Pengiraan Caj AFA (Penggunaan 900 kWj)

Menggunakan kadar AFA (+3.67 sen/kWj):

Caj AFA=900 kWj×RM 0.0367=RM 33.03

Nota: Pengiraan di atas adalah untuk caj AFA sahaja dan belum termasuk caj peruncita atau Cukai Perkhidmatan (8%).

Untuk simulasi dan pecahan pengiraan bil mengikut kadar semasa, gunakan kalkulator rasmi TNB.

Bolehkah AFA mengurangkan bil elektrik?

Ya. AFA tidak semestinya menaikkan bil kerana ia juga boleh menjadi rebat.

Jika kos yang berkaitan dengan penjanaan lebih rendah daripada asas yang digunakan dalam tarif, AFA boleh menjadi negatif. Dalam keadaan itu, nilai AFA ditolak daripada bil.

Contohnya, jika kadar AFA ialah -2 sen/kWj dan pelanggan yang tertakluk kepada AFA menggunakan 800 kWj:

800 × RM0.02 = RM16

RM16 akan menjadi rebat yang mengurangkan bil, tertakluk pada aturan bagi bulan tersebut.

Jadi, perkataan “AFA” pada bil tidak semestinya bermaksud caj tambahan.

Kenapa AFA bulan ini lebih tinggi daripada bulan lepas?

Kadar AFA boleh berubah kerana kos penjanaan dan keadaan pasaran tenaga berubah setiap bulan.

Dalam penerangan pengguna, antara faktor utama ialah harga bahan api global seperti arang batu dan gas serta kadar pertukaran mata wang asing. Single Buyer menjelaskan bahawa kos penjanaan di Semenanjung Malaysia terdedah kepada pergerakan harga bahan api dan mata wang kerana kedua-duanya boleh berubah mengikut pasaran.

Dalam rangka kerja rasmi ST, skop AFA turut merangkumi perubahan dalam:

  • harga bahan api;
  • kos di bawah PPA dan SLA;
  • kos terselaras Tenaga Boleh Baharu; dan
  • kos penjanaan lain yang berkenaan.

Ini bermakna kadar AFA bukan caj tetap. Ia diselaraskan setiap bulan supaya perubahan kos penjanaan boleh dicerminkan dengan lebih dekat kepada keadaan semasa.

Kenapa bil boleh berubah walaupun penggunaan elektrik sama?

Jika anda tertakluk kepada AFA, bil boleh berubah walaupun penggunaan kWj hampir sama kerana kadar AFA tidak semestinya sama setiap bulan.

Bayangkan penggunaan elektrik sebuah rumah kekal hampir sama dalam dua bulan berturut-turut. Jika kadar AFA bulan kedua lebih tinggi, komponen AFA juga boleh meningkat walaupun penggunaan tidak banyak berubah.

Sebaliknya, jika kadar AFA berkurang atau berubah menjadi rebat, komponen AFA boleh menjadi lebih rendah.

Ini membantu membezakan dua faktor yang berlainan:

Penggunaan elektrik ialah jumlah tenaga yang anda gunakan.

AFA ialah pelarasan pada kos penjanaan yang dikenakan mengikut kadar bagi bulan tersebut.

Oleh itu, apabila bil berubah, lihat kedua-dua jumlah kWj dan kadar AFA sebelum membuat kesimpulan tentang puncanya.

Adakah semua perubahan kos AFA terus dikenakan kepada pengguna?

Tidak semestinya. Kerajaan boleh mengambil langkah mitigasi bergantung pada keputusan dan keadaan semasa.

Pada Ogos 2026, jumlah AFA yang dikira ialah +4.28 sen/kWj. Namun, RM51 juta atau bersamaan 0.48 sen/kWj diserap melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE). Ini menjadikan kadar surcaj efektif kepada pengguna +3.80 sen/kWj.

Contoh ini menunjukkan bahawa kadar AFA yang muncul pada bil boleh mengambil kira langkah mitigasi yang diputuskan untuk mengurangkan kesan kenaikan kos kepada pengguna.

Bagaimana nak tahu sama ada AFA mempengaruhi bil saya?

Semak penggunaan bulanan dan baris AFA pada bil TNB anda.

Jika anda pelanggan Domestik dan penggunaan ialah 800 kWj dan ke bawah, AFA dikecualikan di bawah aturan semasa.

Jika penggunaan melebihi 800 kWj, lihat kadar AFA yang terpakai pada bulan tersebut dan jumlah AFA yang dipaparkan pada bil.

Kadar terkini boleh disemak melalui portal  myTNB dan halaman AFA Single Buyer.

Bagaimana nak kurangkan kesan AFA pada bil?

Bagi pelanggan yang tertakluk kepada AFA, menggunakan kurang elektrik akan mengurangkan jumlah kWj yang didarab dengan kadar AFA.

Pengguna tidak boleh menentukan harga arang batu, gas, atau nilai mata wang.

Namun, pengguna boleh mengawal jumlah elektrik yang digunakan di rumah, yang turut menentukan berapa besar kesan kadar AFA terhadap bil.

FAQ

Adakah semua pelanggan TNB dikenakan AFA?

Tidak. Pelanggan Domestik yang menggunakan 800 kWj dan ke bawah sebulan dikecualikan daripada AFA di bawah aturan semasa.

Adakah AFA sentiasa surcaj?

Tidak. AFA boleh menjadi surcaj apabila kos meningkat atau rebat apabila kos lebih rendah.

Kenapa kadar AFA berubah setiap bulan?

Harga bahan api, kadar pertukaran asing, keadaan sistem, cuaca, dan perkembangan geopolitik boleh berubah. Faktor ini boleh mengubah kos penjanaan dan kadar AFA.

Berapa kadar AFA sekarang?

Bagi September 2026, kadar surcaj AFA efektif ialah +3.67 sen/kWj selepas mitigasi KWIE. Kadar AFA berubah setiap bulan, jadi semak kadar terkini sebelum membuat pengiraan.

Di mana boleh semak kadar AFA terkini?

Kadar dan maklumat AFA boleh disemak melalui laman tarif TNB dan laman rasmi Single Buyer.

Nota: Maklumat kadar dan pengecualian AFA dalam artikel ini disemak pada September 2026. AFA ialah pelarasan bulanan, jadi kadar dan aturan boleh berubah.

Artikel ini ditaja oleh Tenaga Nasional Berhad.