Rakyat Malaysia sememangnya sinonim dengan nasi lemak sebagai sarapan pagi. Bersempena dengan Road To Unesco- Meraikan Warisan Kita, I Eat Nasi Lemak, acara paling popular FriedChillies akan kembali pada 5 dan 6 Oktober di Subang Parc, Subang Jaya.
Artikel Berkaitan: Surrr.. 10 Lejen Nasi Kandar ‘Berkampung’ Di Nasi Kandaq Fest
Artikel Berkaitan: #OBCallingFoodies: Nasi Kandaq Festival 2.0 Mai Lagi Hujung Minggu Ini, 11 Jenama ‘Lejen’ Berhimpun
Kumpul bawah satu bumbung
Acara yang dianjurkan bersama Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya dan Jabatan Warisan Neagara, dengan kolaborasi Pertubuhan Kraft Malaysia akan mengabungkan lima hero nasi lemak dan dua lejen roti canai dan teh tarik yang dipilih khas oleh FriedChillies untuk satu hujung minggu yang penuh dengan kebudayaan.
Menurut CEO FriedChillies, Mohd Adly Rizal, festival ini juga adalah untuk UNESCO memartabatkan Budaya Sarapan Malaysia sebagai warisan dunia.
FriedChillies selalu mengumpul hero-hero makanan di bawah satu bumbung supaya segala rakyat jelata boleh makan beramai-ramai. Budaya makan Malaysia adalah unik dan acara macam I Eat Nasi Lemak mengingatkan semua orang yang ini budaya kita tak kira bangsa atau agama.
FriedChillies telah pilih hero-hero nasi lemak pada tahun ini bukan saja berdasarkan kehebatan lauk-pauk dan nasi tapi juga kapasiti mereka untuk terus menyediakan juadah nasi lemak yang tak putus untuk dua hari.
Karnival I Eat Nasi Lemak akan menghidangkan pelbagai jenis nasi lemak dan lauk-pauk seperti sambal kerang, nasi pandan, ayam goreng berhantu, paru goreng power dan nasi lemak bungkus serta teh tarik dan roti canai.
Sementara itu, Dr. Eyo Leng Yan selaku Pengarah, Bahagian Warisan Tidak Ketara di Jabatan Warisan Negara menyatakan program ini merupakan inisiatif JWN untuk mempromosikan dan menggalakkan sebarang aktiviti berkaitan Budaya Sarapan di Malaysia dan Kebaya yang telah dicalonkan ke peringkat UNESCO pada tahun 2023.
Kedua-dua pencalonan ini akan diinskripsi pada bulan Disember 2024 semasa sesi ke-19 Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage yang akan diadakan di Asuncion, Paraguay.
Manakala menurut Nik Faiz Nik Amin, Presiden Pengasas Malaysian Craft Council berkata acara seperti ini memainkan peranan penting dalam menyokong usaha pemeliharaan warisan kebudayaan negara kita.
Kedua-dua kebaya dan nasi lemak merupakan calon untuk pengiktirafan UNESCO, dan melalui aktiviti seperti ini, kita dapat menunjukkan komitmen terhadap kelestarian warisan Malaysia. Ia juga memberi peluang kepada generasi muda untuk menghargai dan memahami kepentingan elemen-elemen ini dalam budaya kita.
I Eat Nasi Lemak akan dibuka selama dua hari dari 9 pagi hingga 10 malam, dan terdapat pelbagai acara kebudayaan yang akan mengiringinya, termasuk ceramah dan demonstrasi makanan, serta Jom! Sarapan Kebaya pada hari kedua (Ahad, 8.30 pagi – 10.30 pagi) yang menggalakkan pengunjung berpakaian kebaya atau pakaian tradisional.
Sebagai galakan pada hari itu, 1,000 pengunjung pertama yang berpakaian mengikut tema akan menerima satu nasi lemak percuma.
Persembahan menarik seperti roti canai terbang, demonstrasi teh tarik oleh Teh Tarik Masters, dan pertandingan Roti Canai Tebar yang diketuai oleh pakar daripada Nasi Kandar Pelita dan Hameediyah juga akan dipersembahkan.
Selain itu, terdapat juga persembahan kebudayaan seperti Wayang Kulit, Mak Yong, dan joget lambak, menjadikan acara ini sebuah pesta komuniti yang penuh meriah.
Untuk maklumat lanjut sila ke www.friedchillies.com atau IG @friedchillies.
Hero-Hero Nasi Lemak
1. Nasi Lemak Tanglin
Nasi lemak ‘Otai’ akan menghidangkan sambal sotong yang digemari ramai, ayam Bali (rendang ayam kering) dan rendang daging.
2. Nasi Lemak Ujang Corner
Menyediakan lebih dari 100kg nasi pada satu hari dengan teknik khas untuk hasil nasi lemak wangi serta cukup rasa lemak santan.
Nasi Lemak Ujang Corner akan menghidangkan sambal sotong, paru dan ayam goreng bersama sambal pekat, harum dengan cili dan bawang.
3. Nasi Lemak Angah
Nasinya kehijauan penuh dengan aroma pandan and sambal mereka pedas-manis. Nasi lemak Angah akan dihidangkan dengan ayam masak merah bersama ayam goreng berempah, sambal sotong dan sambal kerang serta cendawan goreng.
4. Nasi Lemak Suri 223
Gerai generasi ketiga yang tetap menggunakan resipi nenek mereka. Menyediakan sambal yang sedikit pedas dan manis bersama lauk-pauk seperti sambal sotong dan rendang.
5. Nasi Lemak Burung Hantu
Menghidangkan nasi yang menggunakan beras basmathi bersama ikan bilis rangup. Pada hari acara tersebut, mereka akan menyajikan paru berlado (kental dan manis-manis pedas), ayam goreng, sambal kerang, sambal sotong dan rendang daging.
6. Roti Canai dan Teh Tarik
Dua lejen- Pelita dan Hameediyah akan turut sama sertai. Mereka akan membuat demo menebar roti canai dan pakar-pakar teh tarik akan memberi workshop.
Sekadar info, FriedChillies bermula pada 1998,sebagai entiti media dengan fokus kepada makanan terkemuka yang memaparkan kelazatan juadah dan hidangan Malaysia kepada pencinta makanan di seluruh dunia.
Dikenali menerusi penganjuran acara makanan ikonik seperti I Eat Nasi Lemak, Ayam Lejen dan FriedChillies Makan Best Series, ia menghimpunkan vendor tempatan terkemuka di bawah satu bumbung di samping menghasilkan kandungan yang menarik, termasuk ulasan makanan jujur ??dan rancangan masakan yang merakamkan intipati budaya makanan Malaysia.
Bagi Jabatan Warisan Negara, penganjuran program ini juga merupakan usaha yang dilaksanakan oleh JWN untuk mempromosi, melindungi dan mendokumentasi kepelbagaian warisan kebudayaan tidak ketara tempatan yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO, termasuklah Mak Yong (2005), Dondang Sayang (2018), Silat (2019), Upacara Wangkang – pencalonan bersama China (2020), Pantun – pencalonan bersama Indonesia (2020), Songket (2021) dan Mek Mulung (2023).
Selain itu, program ini turut menampilkan Wayang Kulit Kelantan yang telah dicalonkan ke UNESCO pada tahun 2024 serta Tarian Singa dan Chingay yang akan dicalonkan pada tahun 2025.