
Peminat ayam goreng dan pelbagai hidangan berasaskan ayam bakal disatukan dalam satu festival iaitu Ayam Lejen III yang akan menemui orang ramai pada 25 hingga 26 Julai ini di Datum Jelatek Shopping Centre, Kuala Lumpur.
Artikel Berkaitan: #OBCallingFoodies: Datang Lapar Balik Kenyang! Burger Festival 2025 Syurga Untuk Kaki Makan
Artikel Berkaitan: #OBCallingFoodies: Adeep Nahar Rambang Mata Tengok 70+ Hidangan, Siap Tambah Berpinggan-Pinggan
Khas buat pencinta ayam!

Memasuki penganjuran tahun ketiga, festival anjuran FriedChillies itu menghimpunkan lapan jenama ayam popular dari sekitar Lembah Klang yang menawarkan pelbagai variasi hidangan, daripada nashville hot chicken, ayam pressure fried, ayam goreng bersos ala Korea, kepak ayam barbeku hinggalah ayam golek.
Lebih menarik, kemasukan ke festival selama dua hari itu adalah percuma, selain pengunjung berpeluang menikmati set sampler eksklusif pada harga berpatutan yang disediakan khas oleh setiap vendor.
Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies, Adly Rizal berkata, Ayam Lejen III diwujudkan sebagai platform untuk menghimpunkan jenama ayam terbaik negara di bawah satu bumbung.
Festival ini gus memberi peluang kepada pengunjung menentukan sendiri hidangan yang paling menepati cita rasa mereka.
Ramai bertanya kepada kami ayam goreng mana yang paling sedap. Jawapan kami sentiasa sama, datang dan tentukan sendiri.
Di Ayam Lejen III, pengunjung boleh membandingkan Nashville Hot Chicken, ayam goreng tempatan, ayam pressure fried, ayam bersos, kepak ayam barbeku dan ayam golek dalam satu festival. Itulah yang menjadikan Ayam Lejen begitu istimewa.
Makan sampai kenyang

Antara jenama yang mengambil bahagian ialah Fowlboys Diner, Ayam Goreng Berhantu, Supernomms Fried Chicken, Ayam Masywi, Cowboys Barbecue & Grill, Muiz Hot Chicken, Hot Bird dan Hott Chickk.
Setiap jenama tampil dengan keunikan tersendiri. Fowlboys Diner mempertaruhkan Nashville Hot Chicken yang diperap selama 24 jam sebelum digoreng menggunakan teknik pressure fry, manakala Hot Bird menawarkan Jumbo Tenders dengan enam tahap kepedasan sehingga menggunakan cili Carolina Reaper.
Hott Chickk pula memperkenalkan Nashville Hot Chicken yang disesuaikan dengan cita rasa tempatan serta menu baharu Ayam Gepuk, sementara Muiz Hot Chicken mengetengahkan ayam goreng rangup bersama Shaker Chicken Tenders dalam pilihan perisa seperti Mala, Thai Lime, Peri-Peri dan Charcoal.
Ayam Goreng Berhantu hadir dengan tiga pilihan sos iaitu Original, Korea dan Cheese Leleh, manakala Supernomms Fried Chicken menggunakan teknik pressure fried bersama proses vacuum marination dengan 14 jenis herba dan rempah yang dipadankan bersama Signature Salted Egg Sauce.
Cowboys Barbecue & Grill pula membawa kepak ayam barbeku dengan tiga pilihan sos selain kombo khas brisket dan chicken wings, manakala Ayam Masywi mempertaruhkan ayam golek yang dipanggang perlahan di atas api terbuka sejak 1999.
Makanan satukan rakyat

Selain menikmati pelbagai hidangan, pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan makan, sesi debat mengenai ayam goreng, undian awam, hiburan pentas, aktiviti keluarga serta promosi eksklusif sepanjang festival berlangsung.
Ketua Pegawai Eksekutif Datum Jelatek Shopping Centre, Zetty Rahim berkata, pihaknya berbesar hati sekali lagi menjadi lokasi penganjuran festival berkenaan.
Ayam Lejen III akan berlangsung pada 25 dan 26 Julai, bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam di Datum Jelatek Shopping Centre, Kuala Lumpur.
Orang ramai disarankan hadir lebih awal bagi menikmati hidangan sampler popular serta menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang festival.








