
Drama rantaian mencetuskan fenomena, Keluarga Itu, terus membuktikan dominasinya dalam industri hiburan tanah air apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Drama Paling Viral di malam penganugerahan OhBulan! Paling Viral Online (OBPVO).
Drama Paling Viral
Karya hebat sentuhan figura tersohor, Erma Fatima, yang disiarkan di TV3 dan platform penstriman Tonton ini berjaya mengetepikan empat pencalonan sengit yang lain.
Drama terbitan Rumah Karya Citra ini merupakan hasil kerjasama strategik tiga pengarah berkaliber iaitu Nur Ain Sharif, Ejump Mohd dan Amor Rizan.
Gabungan visi kreatif mereka berjaya menterjemahkan naskah ini menjadi sebuah karya yang bukan sahaja tular di media sosial, malah meninggalkan impak mendalam kepada penonton.
Sebagai tanda pengiktirafan terhadap impak digital dan populariti drama tersebut, Erma Fatima telah membawa pulang sebuah trofi eksklusif yang direka khas oleh pihak penganjur.
Majlis yang berlangsung penuh meriah itu dihoskan oleh penyampai radio popular, Fizi Ali. Acara ini turut disiarkan secara langsung menerusi saluran TikTok dan YouTube rasmi OhBulan!, membolehkan ribuan penonton menyaksikan detik bersejarah ini secara atas talian.
Penganjuran OhBulan! Paling Viral Online kali ini turut mendapat sokongan padu daripada jenama minuman terkenal, F&N Seasons, yang bertindak sebagai penaja rasmi bagi menjayakan acara tersebut.