Seorang rakyat Malaysia yang didapati bersalah menyeludup dadah ke Singapura akan menjalani hukuman gantung sampai mati pada 27 April ini.
Kes seludup dadah ke Singapura
Memetik laporan media tempatan, Mahkamah Rayuan Singapura telah menolak rayuan kes pengedaran dadah warga Malaysia iaitu Nagaenthran K Dharmalingam sekali gus mengekalkan pelaksanaan hukuman mati terhadapnya.
Tertuduh yang kini berusia 34 tahun ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 iaitu ketika berusia 21 tahun atas kesalahan penyeludupan dadah jenis heroin seberat 42.72 gram di Pusat Pemeriksaan Woodlands ketika melintasi sempadan Malaysia dan Singapura. Difahamkan, bahan terlarang itu ditemui diikat pada pahanya kirinya.
Nagaenthran yang dikatakan mengalami ketidakupayaan mental didapati bersalah dan pada November 2010, mahkamah menetapkan hukuman gantung sampai mati terhadap tertuduh.
Gantung sampai mati
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah sebelum ini berkata, proses rayuan melalui mahkamah sudah pun dibuat sehingga peringkat terakhir iaitu menerusi permohonan Pengampunan Presiden Singapura selaku ketua negara. Bagaimanapun, permohonan itu ditolak secara rasmi pada 1 Jun 2020.
Tertuduh sepatutnya dihukum gantung pada 10 November 2021 namun diberi penangguhan sementara menunggu pendengaran rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. Rayuan itu sepatutnya didengar pada November 2021 tetapi ditangguhkan ke Mac 2022 apabila Nagaentran disahkan positif Covid-19 pada 9 November 2021.
Hampir 11 tahun, tertuduh akhirnya gagal dalam rayuan terakhirnya bulan lalu, apabila hakim menolak hujah melaksanakan hukuman mati ke atas individu kurang upaya dari segi mental bertentangan undang-undang antarabangsa. Tertuduh akan menjalani hukuman gantung sampai mati pada 27 April ini di Singapura. Difahamkan, ahli keluarga termasuk ibu dan tiga adik-beradiknya akan ke Singapura untuk menemui Nagaenthran. Sementara ibu tertuduh merayu agar pihak berwajib dapat menyelamatkan anak lelakinya itu daripada hukuman tersebut.
Nagaenthran. Selamatkan dia. Baru hati senang. Minta maaf dia sudah salah. Semua orang tolong.
Sumber: Berita Harian, Free Malaysia Today, Malaysia Kini, The Edges Market