Pelakon dan pengarah terkenal iaitu Datuk Farid Kamil Zahari telah dijatuhi hukuman penjara selama 13 bulan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah serta mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap seorang anggota polis pada 2 tahun lalu.
Penjara 13 bulan
Menerusi laporan yang dipetik daripada Bernama, pada tahun 2018, pelakon yang berusia 39 tahun ini didakwa telah menghalang anggota polis iaitu Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin menjalankan tugas dan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara.
Oleh hal demikian, Majistret Nor Ariffin Hisham telah menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan terhadap tertuduh selepas dia gagal menimbulkan keraguan munasabah dan dibuktikan bersalah terhadap dua pertuduhan terbabit.
Diperintah bayar kos pendakwaan
Pihak mahkamah bagaimanapun memerintahkan supaya kedua-dua hukuman tersebut dijalankan secara serentak bermula hari ini (2 Jun 2020) sementara mengarahkan tertuduh untuk menjalankan hukuman tersebut secara berasingan dengan hukuman penjara 9 bulan atas kesalahan pengambilan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC).
Sementara itu, tertuduh juga telah diperintahkan oleh mahkamah supaya membayar kos pendakwaan berjumlah RM5,000 atau menjalani hukuman penjara selama 6 bulan jika gagal membuat pembayaran tersebut. Mahkamah bagaimanapun membenarkan aktor terkenal itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman terbabit dengan membayar jaminan sebanyak RM10,000 berserta seorang penjamin sementara peguamnya memfailkan rayuan.
Sumber: Bernama