berita

Latest Posts

Ariel (Noah) Bakal Meriahkan Konsert “Tentang Bahtera” Di KL Live!

September 5th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Jujur OHBULAN! katakan, semenjak penubuhan Peter Pan pada tahun 2000 dan bermulanya fenomena lagu-lagu kumpulan ini di Malaysia, OHBULAN! boleh dikatakan membesar dengan lagu-lagu mereka juga.

Lagu-lagu seperti Mungkin Nanti, Bintang Di Surga, Menghapus Jejakmu, dan juga Ada Apa Dengan Dia bukanlah lagu yang asing lagi dari mulut kami. Jika ke pusat karaoke pun, pasti lagu-lagu ini akan menjadi lagu-lagu wajib dinyanyikan. Sedar tidak sedar, sudah hampir 12 tahun OHBULAN! mengenali kumpulan Peter Pan.

Namun, tahun 2010 menjadi tahun yang sedikit malang bagi vokalis Peter Pan, Ariel apabila dia didapati bersalah menyebarkan 2 video lucah yang menyebabkan penyanyi kegilaan ramai ini dihukum penjara 2 tahun.

Selepas selesai menjalani hukuman dan dibebaskan pada bulan Julai 2012, Ariel telah tampil dengan single terbaru yang ditulis ketika menjalani hukuman. Namun apa yang lebih menarik, Ariel dan kumpulannya telah membubarkan Peter Pan dan kembali dengan nama baru, Noah.

Berita baik buat para peminat, Kumpulan Noah akan turun ke Malaysia pada 16 September ini sempena Hari Malaysia bertempat di KL Live,  Kuala Lumpur. Anda boleh dapatkan tiket konsert “Tentang Bahtera” yang dianjurkan Livescape melalui Ticketpro dengan harga bermula dari RM55 (pra jualan), RM75 dan RM130 (termasuk makanan dan minuman).

Konsert ini bakal menggabungkan artis dari Indonesia dan juga Malaysia sebagai satu lagi kejutan terhadap peminat tempatan. Antara artis yang bakal memeriahkan konsert “Tentang Bahtera” termasuklah , 6ixth Sense, The Malayan dan juga trio, Gamaliel Audrey Cantika (GAC).

Jadi, sila dapatkan tiket anda sekarang!

“Kenapa Saya Nak Burukkan Nama Orang?” – Zed Zaidi Respon Isu Randy Pangalila

September 4th, 2012 | by Ai
Isu & Kontroversi

Itulah yang Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi tegaskan apabila dihubungi oleh OHBULAN!. Isu Randy Pangalila telah menimbulkan pelbagai persoalan kepada Zed Zaidi samada pelakon yang berasal dari Indonesia ini telah melalui prosedur yang ditetapkan atau pun tidak sebelum terlibat dengan mana-mana drama atau pun filem tempatan.

Ketika ditanya mengenai isu ini, Zed menegaskan bahawa setiap artis selain artis tempatan haruslah melalui prosedur yang ditetapkan oleh FINAS.

“Artis luar negara juga haruslah mempunyai Surat Sokongan Kemasukan Pekerja Filem Asing (PFA) dan dokumen kelulusan daripada Jabatan Imigresen diperlukan bagi memperakukan perkara ini. Jika benar pihak produksi ada berbuat demikian, sila kemukakan.”

“Sebab saya jelas mengenai prosedur yang telah ditetapkan sebab itu saya hairan mengapa semudah itu artis luar keluar masuk dalam industri kita sampai boleh ada program rayanya sendiri. Itu sahaja, saya harap FINAS dan agensi berkaitan boleh tampil menjawab perkara ini.”

Zed Zaidi turut kesal dengan sesetengah pihak yang kerap menyalahkannya.

“Kenapa saya nak burukkan nama orang? Saya tak kisah mana-mana artis luar pun untuk bekerja didalam industri, tapi mereka haruslah melalui saluran yang betul. Saya sendiri pernah ke Indonesia untuk tujuan penggambaran, namun telah ditahan kerana tidak lulus syarat yang ditetapkan oleh persatuan disana.”

“Saya terpaksa menjalani prosedur itu dengan membayar wang dengan jumlah yang tinggi kerana prosedur mereka sudah ditetapkan begitu. Kalau disana mereka buat begitu, kenapa kita tidak lakukan perkara yang sama?” jelas Zed lagi.

Sebagai seorang Presiden Persatuan Seniman, Zed memberitahu, dia sememangnya mahu membela nasib artis, namun tidak ramai yang faham dan terus menyalahkannya.

“Saya buat begini kerana ini perkara yang betul. Kalau tidak, kenapa saya telah dipilih sebagai Presiden Persatuan Seniman?”

“Apa yang saya katakan semuanya adalah berdasarkan undang-undang yang telah ditetapkan oleh persatuan termasuk FINAS sendiri. Saya bukannya bodoh, kajian telah dibuat sebelum sesuatu perkara itu saya suarakan,” tegas Zed Zaidi lagi.

Zed Zaidi yang kini berada di Sabah untuk menyokong penubuhan Persatuan Seniman Sabah juga memberitahu bahawa apa yang diperjuangkannya semuanya adalah untuk kebaikan artis dan juga bakal insan seni yang akan datang.

“Cuba anda bayangkan, satu hari nanti anak anda mahu menjadi artis, namun disebabkan lambakan artis luar negara, mereka tidak mendapat peluang itu?”

Mampukah Kilafairy Tawan Hati Aidil Aziz?

September 4th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Bermula jam 10.30 malam ini, TV3 akan menyiarkan drama bersiri terbaru berjudul Saiful Nita lakonan Aidil Aziz dan Kilafairy. Drama 25 episod ini akan disiarkan di Slot Samarinda bagi menggantikan drama 7 Ramadhan sebelum ini.

Drama bersiri Saiful Nita ini merupakan terbitan produksi Pena Creative dan ia merupakan sentuhan kreatif daripada Sharifah Abu Salem. Selain Kilafairy dan Aidil Aziz, drama ini turut membariskan pelakon-pelakon terkenal yang lain seperti Arash Mohd, Mariah Faridah, Dato’ Jalaludin Hassan, Hamidah Wahab, Fauzi Nawawi serta Linda Hashim.

Kisah ‘Saiful Nita’ bermula apabila Saiful (Aidil Aiziz) disatukan oleh bapanya dengan anak perempuan Tan Sri Sulaiman, Nita (Kilafairy) yang mempunyai sikap suka memberontak dan berfoya-foya. Tujuan utama bapa Saiful, Datuk Mahmud menyatukan Saiful dan Nita kerana dia ingin mengambil kesempatan di atas kekayaan yang dimilik oleh keluarga Tan Sri Sulaiman.

Setelah genap sebulan menjalinkan pertunangan, Nita telah mula menuntut agar Saiful memutuskan pertunangan mereka. Namun begitu, Saiful enggan berbuat demikian sehinggalah Saiful bertemu dengan seorang wanita yang baik hati bernama Netty.

Dalam masa yang sama, Nita telah mendapat satu tamparan hebat apabila dia ditinggalkan kekasihnya, Doktor Effendi. Selain itu, Nita juga telah mengalami gangguan jiwa dan sering bertindak di luar kawalan. Oleh itu, sebagai ‘tunang’ Saiful turut bersimpati dengan nasib Nita dan sering berada di sisinya.

Sejak itu, Nita mulai sedar bahawa Saiful merupakan seorang lelaki yang baik dan mula menyukainya. Akan tetapi, dalam hati Saiful cuma ada Netty. Jadi, masih wujudkan perasaan sayang Saiful terhadap Nita dan siapakah yang menjadi pilihan hati Saiful? Untuk mengetahui cerita selanjutnya, jangan lupa menonton drama bersiri Saiful Nita setiap hari Selasa dan Rabu jam 10.30 malam, manakala pada hari Khamis jam 9.30 malam.

“Iron Man 3” Bakal Muncul Dengan Musuh Baru, “Radioactive Man”

September 4th, 2012 | by Ai
Hollywood

Bagi peminat-peminat setia Marvel Comics, watak Radioactive Man bukanlah sesuatu yang asing untuk anda kan?

Untuk filem terbaru Iron Man, Radioactive Man bakal muncul sebagai watak jahat. Watak ini adalah berdasarkan seorang ahli nuklear dan agen komunis di China bernama Chen Lu.

Watak Chen Lu pertamakali muncul di komik berjudul Journey Into Mystery episod #93 pada bulan Jun 1963, dan asalnya dihasilkan untuk mencari cara mengalahkan Thor. Untuk pengetahuan, karakter Radioactive Man terjadi apabila Chen Lu terkena dos kecil bahan radioaktif lalu mengalami transformasi dan ingin menguasai dunia.

Apa yang pasti, watak Radioactive Man berkemungkinan besar akan dipegang oleh Wang Xueqi, pelakon dari China yang berusia 66 tahun. Filem “Iron Man 3” bakal ditayangkan di pawagam pada 3 Mei 2013.

Mari kita tonton sedikit video mengenai Radioactive Man selepas ini ya!

Samsung SMART TV, Tawarkan Program Hebat

September 4th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Pagi tadi telah berlangsungnya majlis khas bagi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara pihak Alt Media Sdn Bhd dan Samsung Malaysia Electronics. Majlis telah berlangsung di bangunan Sri Pentas, Bandar Utama pada jam 10.20 pagi.

Menerusi usahasama antara pihak Samsung dan Alt Media ini, pengguna dapat melayari portal Tonton menerusi medium yang mudah iaitu Samsung SMART TV. Dengan ini para pengguna dapat menggunakan perkhidmatan TV catch-up untuk kandungan pelbagai saluran TV, portal online serta stesen radio milik Media Prima Berhad.

Menurut Pengarah Urusan Samsung Malaysia Electronics, Kwon Jae Hoon, matlamat utama pihaknya bekerjasama dengan Alt Media adalah untuk menyatupadukan kegembiraan antara ahli keluarga dan rakan-raka, menerusi tontonan drama-drama menarik di Tonton TV dengan aplikasi mudah di Samsung SMART TV.

Para pengguna akan dapat menikmati aplikasi Tonton TV ini mulai Disember 2012, dan ia membolehkan pengguna menonton kesemua kandungan filem dan program-program menarik seperti Buletin Utama, Wanita Hari Ini, Bella, Ho Chak dan Muzik Muzik. Kesemuanya boleh disaksikan dengan kualiti imej yang lebih jelas.

Kesemua program ini boleh ditonton dengan mudah melalui sentuhan hujung jari, tanpa perlu melalui pendaftaran masuk menggunakan perkakasan komputer yang berasingan dan kesemua program akan dimuat naik ke sistem Tonton dalam jangka masa 2 jam selepas siaran asal di saluran TV.

Pada masa yang sama, Pengurus Besar Kumpulan Media Baru dan Pemasaran Bersepadu, Media Prima Berhad, Lam Swee Kim, turut memaklumkan bahawa pelanggan Samsung SMART TV boleh mendapatkan kandungan program popular dan terkini. Selain itu, aplikasi inovatif ini turut memberi pilihan alternatif buat pengguna semasa Tonton untuk menikmati rancangan kegemaran mereka di medium selain komputer, tablet dan telefon pintar.

Hijabster : Lilitan Kesantunan Dengan Gaya Yang Mempersonakan!

September 4th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Hana Tajima Simpson atau dikenali sebagai Hana Tajima merupakan satu nama besar yang tidak asing lagi di kalangan semua pemakai tudung. Stailista cara lilitan tudung yang dilakukan Hana Tajima memberi impak besar kepada fesyen kini. Manakan tidak, lilitan tersebut menyerlahkan imej kelainan kepada personaliti si pemakai. Selain menyerlahkan keayuan si gadis, ianya juga mengetengahkan unsur kesopanan yang tinggi dalam bergaya.

Bertudung bukanlah penghalang seseorang daripada untuk terus bergaya. Walaupun hanya bergaya dengan seluar, pasti si cantik bakal tampil menawan dengan lilitan tudung yang lain daripada yang lain.

Bagi si cantik manis yang ingin mengekalkan imej kesantunan, seluar kembang berwarna cerah dipadankan dengan kemeja-T putih bersama kemeja lengan panjang ala-ala’ jean’s mampu menyerlahkan personaliti anda. Penggunaan tudung daripada warna coklat dengan sedikit lilitan yang unik mampu menaikkan seri imej si pemakai tudung.

Penggunaan ‘dress’ labuh pasti menjadi pilihan utama si pemakai tatkala ingin berketerampilan mempersonakan di majlis-majlis glamor. Kemanisan dan keayuan pasti menjadi aura penting yang ingin ditonjolkan oleh para pemakai.

Bagi si pemakai yang inginkan keterampilan lain daripada yang lain, ‘dress’ labuh daripada rona gelap dengan sedikit gabungan jaket berbulu menyerlahkan personaliti elegan pada setiap langkahan yang dibuat. Kombinasi lilitan tudung daripada rona warna ceria mampu memberikan kontra warna kepada si pemakai untuk menonjolkan aura semangat si gadis.

Gaya ke kuliah? Mungkin ini mampu memberi inspirasi kepada si pemakai untuk bergaya ke kuliah bersama lilitan tudung yang stailista disamping memudahkan setiap pergerakkan yang dilakukan. Rona hitam pasti menjadi pilihan tatkala bergaya, ini kerana rona tersebut mampu dipadankan dengan setiap helaian baju yang digayakan.

Penggayaan tudung ala-ala anak tudung ini digayakan dengan sehelai baju polos berwarna merah jambu yang turut dikombinasikan dengan kemeja lengan panjang kotak-kotak daripada warna kelabu. Rona senada antara tudung dan seluar mampu memberikan imej segar kepada si pemakai.

Tips Penjagaan Rambut

Rambut putus berlaku apabila anda menyikat rambut yang kusut. Jadi apabila tiada kusut, tiadalah yang putus.

Subscribe Youtube OHBULAN! Banyak Video Best!

Paling Popular Minggu Ini

Shout Out!

×