berita

Pakar Dedah Racun Perosak Ganggu Sistem Saraf

December 26th, 2018 | by Arini Saleh
Kesihatan & Hidup Aktif

Racun makhluk perosak atau ringkasnya racun perosak ialah sebarang bahan atau sebatian bertujuan untuk mengawal, mencegah, memusnah, melemah, menghalau, melegakan atau mengurangkan jumlah makhluk perosak.

Memetik laporan dari Astro Awani, sistem saraf dalam badan manusia akan terganggu akibat kandungan racun perosak yang berlebihan dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.

Keresahan, hilang selera makan & kemurungan

Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Dr Vivien How, menjelaskan antara simptom apabila kandungan racun perosak dalam badan tinggi adalah keresahan, hilang selera makan dan kemurungan.

Beliau membahagikan racun perosak ini kepada dua iaitu racun serangga dan racun kulat.

Racun serangga seperti Organophosphate, Synthetic Pye­throid, Carbamate memberi kesan dengan menganggu sistem saraf kita.

Kesan ini lebih tinggi kepada kanak-kanak berbanding dewasa kerana proses detoks boleh mengambil masa hingga berminggu-minggu untuk racun itu dikeluarkan dari sistem badan.

Tambah beliau lagi, toksik racun perosak akan memberi kesan kepada organ dalaman seperti hati, buah pinggang dan hormon endokrin manusia pada jangka masa panjang.

Apabila ia memberi kesan kepada hormon endokrin, badan kita mudah mendapat penyakit metabolik seperti sakit jantung.

Teknik berkebun secara organik

Menurut Dr Vivien, kebanyakan pekebun beranggapan bahawa penggunaan bahan racun perosak ini hanya sebagai ‘ubat’ dan bukan racun.

Pekebun ini mahu pengeluaran yang tinggi. Mereka menggunakan racun perosak supaya tanaman mereka tidak dimakan serangga atau tumbuh kulat.

Jabatan Pertanian telah mengeluarkan arahan menghentikan import cili dari Vietnam setelah mendapati kadar sisa racun melebihi tahap yang dibenarkan pada 14 September lalu.

Negara-negara di Asia Tenggara yang sering mengalami cuaca hujan juga menjadi punca banyak tanaman terdedah dengan serangga dan kulat.

Sebab itu, pekebun termasuk di pekebun di Vietnam cenderung untuk menggunakan racun perosak dengan kadar yang lebih tinggi.

Pada masa yang sama, Dr Vivien mencadangkan supaya pekebun diberi pendedahan tentang bahaya racun perosak, termasuklah mengajar teknik berkebun secara organik iaitu menggunakan ekosistem semula jadi dalam mengawal serangga perosak.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya sentiasa membasuh sayur-sayuran dan buah-buahan terlebih dahulu sebelum dimasak atau dimakan.

Sumber: Astro Awani

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×