berita

Panas Isu Tak Fasih BM, Lelaki Cina Ini Kongsi ‘Dilema’ Sebenar Segelintir Kaum Cina Di Malaysia

August 21st, 2019 | by Amat
Kini Trending

Tidak dapat dinafikan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan anak muda amat penting. Tambahan, kita yang hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia ini. Pengguna Facebook, Khu Eian Chun kongsi pengalaman isterinya yang mengajar di sekolah dan rata-rata pelajar Cina didapati lemah dalam penguasaan Bahasa Melayu. Ada juga yang tidak tahu langsung berbahasa Melayu.

Dia turut menyeru agar pelajar menguasai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara. Lebih mengejutkan lagi, pelajar-pelajar ini juga tidak tahu siapa nama Agong dan lihat bagaimana isterinya ini ‘bantu’ pelajarnya menguasai Bahasa Melayu.

Kaum Cina gagal menguasai Bahasa Melayu

Sempena dengan Bulan Kebangsaan ini, saya ingin mengambil kesempatan dan risiko ini untuk meminta kaum saya untuk sama-sama merenungkan apa yang akan saya sampaikan ini nanti. Sebelum itu, anda diminta untuk membacanya dengan mata hati, minda yang terbuka dan ditafsir dengan akal fikiran.

Isunya ialah penguasaan bahasa Malaysia dalam kalangan kaum Cina. Melalui pemerhatian terhadap persekitaran saya, majoriti kaum Cina dilihat gagal menguasai BM dengan baik. Cakap hanya sekadar untuk orang faham dengan bahasa yang lintang pukang. Kenapa ini berlaku? Sedangkan kaum Cina sudah hidup berkurun lamanya di bumi Malaysia ini. Saya sendiri merupakan generasi ke-7 di Tanah Melayu. Tetapi persekitaran kehidupan kaum Cina di Kelantan/Terengganu mungkin agak berbeza dengan kaum Cina di negeri-negeri lain. Walaupun bukan semua, tetapi majoritinya begitu.

Kami lebih mahir berbahasa Melayu serta dapat kecek Kelate dengan baik dan lebih mengerti budaya kaum Melayu berbanding dengan kaum-kaum Cina di negeri lain. Ini adalah kenyataan. Kenapa? Mungkin sebab populasi Cina di Kelantan/Terengganu lebih sedikit berbanding dengan negeri-negeri lain dan memaksa mereka untuk bercampur dengan kaum-kaum Melayu setempat. Boleh jadi juga sebab kebanyakan daripada mereka tinggal di kawasan kampung-kampung dan bergaul rapat dengan kaum-kaum Melayu tempatan. Ataupun mungkin disebabkan oleh pengaruh ibu bapa yang sentiasa mesra dengan kaum-kaum Melayu setempat.

Tidak semestinya kena masuk Melayu (Islam)

So, bagaimana untuk memastikan kaum-kaum Cina lain juga dapat menguasai BM (pertuturan) dengan baik? Saya berpendapat bahawa, selain daripada kesedaran dalaman diri, ibu bapa perlulah terlebih dahulu sedar akan perkara ini dan memandangnya secara lebih terbuka. Galakkan anak-anak supaya sentiasa berkawan dengan Melayu, sentiasa bercakap dengan menggunakan bahasa Melayu dengan kawan-kawan Melayu, mendengar lagu-lagu Melayu dan sentiasa lah tonton drama/cerita-cerita Melayu (termasuk berita arus perdana).

Berkawan dengan Melayu tidak semestinya kita akan/kena masuk Melayu (Islam). Segalanya bergantung kepada diri sendiri. Majoriti kawan-kawan saya adalah Melayu, tetapi saya masih Cina Buddha sehingga kini, cuma saya berkahwin dengan Cina yang mengajar subjek Bahasa Melayu sahaja. Dalam sesetengah perkara, saya terpaksa bersetuju dengan Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong. Beliau pernah dengan tegasnya mengatakan bahawa Cina yang tidak pandai bercakap Melayu sepatutnya keluar daripada Malaysia!. Maksudnya ialah, sangat tidak masuk akal bagi warganegara Malaysia yang telah sekian lama berada di Malaysia tetapi tidak dapat bertutur BM dengan baik malah ada yang tidak pandai pun bertutur BM! Pelik kan? Pelik, tapi benar.

Disebabkan ini lah Prof. Dato’ Dr. Teo pernah mewarwarkan sekolah 1 aliran pada suatu ketika dahulu yang mendapat tentangan hebat daripada kaum-kaum cina termasuklah saya. Saya tidak setuju bukan kerana saya bersikap perkauman. Tetapi, selagi mana SIKAP PERKAUMAN ini wujud dalam setiap diri masyarakat Malaysia, maka selagi itu lah Sekolah 1 Aliran ini tidak sesuai dilaksanakan. Kenapa? Cukuplah saya sendiri yang memahaminya. Banyak komplikasinya.

Anak 7 tahun sudah pancai cakap Melayu

Berbalik kepada pokok persoalan. Murid-murid Cina biasanya akan ke SJKC dan apabila ke sekolah menengah nanti, tidak semua pergi ke SMJKC. So, akan ada yang masuk ke SMK aliran perdana. Di situ mereka akan menghadapi masalah berkomunikasi dengan rakan-rakan sekelas Melayu dan guru-guru Melayu. Mereka juga akan masuk kelompok-kelompok Cina supaya senang untuk berkomunikasi. Begitu juga apabila mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat IPT nanti. Situasi ini adalah sangat tidak sihat kepada masyarakat majmuk di Malaysia. Sebab itu lah saya menyarankan kepada ibu bapa kaum Cina di Malaysia ini supaya menggalakkan anak-anak mereka bergaul dengan Melayu. Macam mana cara untuk bergaul itu adalah bergantung kepada kebijaksanaan didikan ibu bapa masing-masing.

Anak sulung saya yang berumur 7 tahun pun sudah pandai bercakap BM dengan baik, juga dapat menguasai bahasa Mandarin dan Bahasa Inggeris. So, kita (Cina) sepatutnya berfikir dengan lebih menyeluruh terhadap perkara ini dan bukannya berfikir untuk kepentingan diri/kaum kita semata-mata. Ingat, Malaysia ialah negara majmuk!. Cukuplah kita dihina dengan bermacam-macam selama ini. Anda yang buat hal, saya yang tak bersalah juga turut terkena tempiasnya atas nama Cina. Ini adalah TIDAK ADIL!.

Saya menyeru kepada anak-anak didik saya terutamanya dan rakan kenalan, apabila anda mempunyai anak-anak kelak, asuhlah anak-anak anda supaya menjadi warganegara Malaysia yang berada di bumi berbilang kaum ini. Siapalah saya untuk berpesan kepada yang lebih tua, nanti ada yang akan cakap “saya terlebih dahulu makan garam daripada awak”. Susah nak menyedarkan yang tua ini. Nak membentuk peradaban memang memakan masa yang lama, pun begitu, tidak mengapa. Seribu langkah dimulai dengan langkah pertama. Lebih baik melangkah daripada langsung tidak melangkah!

Siapa Agong pun mereka tak tahu

Saya ingin berkongsi kisah benar daripada isteri saya pada beberapa minggu yang lepas. Terdapat beberapa orang pelajar Cina di dalam kelasnya yang tidak tahu pun cuti umum yang mereka dapat itu ialah cuti sempena pertabalan Agong! Siapa Agong pun tak tahu! Agong sekarang ini sultan negeri mana pun tak tahu! Malah terdapat pelajar Cina di dalam kelasnya yang tidak pandai bertutur BM. Setiap kali masuk kelas dia akan mengelak dan sentiasa menundukkan muka ke bawah apabila dipandang oleh isteri saya.

Rupa-rupanya ialah kerana dia takut disoal kerana tidak pandai bertutur BM! Apa yang dia cakap, isteri saya pun tak faham! BM yang sangat teruk (macam mana lulus SPM saya pun tak tahu). Dengan itu, setiap kali kelas, isteri saya akan sentiasa ‘attack’ dia. Akhirnya, sekarang ini dia dah boleh bercakap sedikit-sedikit. No comment. Anda boleh nilai sendiri macam mana. Orang sebeginilah yang kita risau, apabila memasuki alam pekerjaan nanti, mereka juga akan berada dalam kelompoknya yang sama. Apabila berkeluarga kelak, anak-anaknya juga akan ikut patern yang sama. So, perkara ini akan berterusan dari generasi ke generasi yang tiada penghujungnya. Sadis!

Saya cukup yakin, situasi ini juga turut berlaku di lain-lain IPT. So, sekurang-kurangnya dalam bulan kebangsaan ini, mari lah kita sama-sama merenungkan perkara ini dengan mata hati dan akal yang waras. Sesekali update status FB dengan menggunakan BM pun bagus juga. Tidak perlu diagungkan sangat dengan BI sampai lupa di mana bumi kita pijak. Anda boleh mencontohi kaum Cina negeri Kelantan/ Terengganu/Sarawak untuk hidup dalam masyarakat majmuk. Usah terlalu terpengaruh dengan orang-orang/cakap-cakap politik kerana politik Malaysia masih jauh terkebelakang. Kita hanya perlu fikirkan tanah air (Malaysia) kita sahaja.

Sumber: Khu Eian Chun

SKIP THIS AD ×