berita

Pandangan Iqram Dinzly & Tasha Shilla Mengenai Bajet 2013

October 3rd, 2012 | by Ai
Kini Trending

Tersenyum lebar dengan tema “Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat, Sebuah Janji Ditepati”, kerajaan dilihat mengambil berat terhadap permasalahan rakyat dan beberapa selebriti turut sama memberikan ulasan istimewa mengenai Bajet 2013 dengan jawapan yang analitikal.

Antara pembentangan Bajet 2013 ialah peruntukan rebat tunai yang diberikan sebanyak RM200 untuk pembelian telefon pintar 3G dimana ianya juga memberi kemudahan kepada golongan muda untuk mengakses maklumat. Malah bagi mereka yang berumur 21-30 tahun, sebanyak RM250 bantuan diberikan jika gaji mereka kurang daripada RM2000.

Jika dahulu, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) menerima RM200 bantuan baucar buku, kini RM50 ditambahkan menjadi RM250. Paling istimewa, bekas graduan turut menikmati diskaun sebanyak 20 peratus jika melangsaikan hutang PTPTN secara sekaligus pada tahun hadapan manakala diskaun sebanyak 10 peratus kepada si peminjam yang membuat bayaran balik secara konsisten.

Menerusi temubual bersama selebriti kacak Iqram Dinzly, 31, beliau menyuarakan pendapat untuk jangka masa panjang ke arah wawasan 2020 dimana beliau berpendapat kemudahan Wifi dan gajet elektronik mampu memajukan anak bangsa di Malaysia.

“Alhamdulilah rezeki bagi orang muda. Bagi pendapat saya, daripada kerajaan memberi peruntukan rebet tunai RM200 untuk telefon bimbit 3G, lebih afdal kiranya kerajaan beri kemudahan Wifi secara percuma di setiap tempat seperti di Negara Korea. Seperti juga baucar buku RM250, lebih molek jika kerajaan menggantikannya dengan gajet media eletronik seperti Ipad dimana ianya memudahkan para pelajar dalam proses pembelajaran tanpa perlu menggunakan buku teks.”

Tambah Iqram lagi, “Walaubagaimanapun, saya tetap menyokong keprihatinan kerajaan terhadap rakyat-rakyatnya.”

Manakala menerusi temubual bersama selebriti jelita Tasha Shilla, 25, beliau memberikan sokongan padu kepada kerajaan atas peruntukan yang diberi kepada komuniti karyawan sekaligus mampu mengangkat anak-anak seni dalam bajet yang disediakan.

“Jika pada tahun dahulu, bajet yang diperuntukan tidak mencukupi. Jadi, bagi tahun ini bajet yang diperuntukan sebanyak 6 juta adalah sesuatu yang bagus dan saya berharap ianya dapat digunakan dengan sebaik mungkin. Bagi saya, jika benda tersebut benda yang baik dan positif, saya akan sokong”.

Rambut sama hitam, hati lain-lain. Begitu juga dengan pendapat yang disuarakan. Namun, semuanya dinilai oleh rakyat dan diusahakan oleh kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat.