Musim perayaan sepatutnya disambut dengan kegembiraan, namun aspek keselamatan kediaman dan pemanduan tidak boleh diabaikan.

Langkah keselamatan

Langkah pertama bermula dengan mematikan semua suis barangan elektrik dan menanggalkan palam daripada soket bagi mencegah litar pintas. Selain itu, pastikan kepala tong gas dicabut dan semua paip air ditutup rapat bagi mengelakkan risiko kebocoran.

Dari aspek keselamatan fizikal, pastikan semua pintu, tingkap, dan pagar dikunci dengan kukuh. Elakkan menyembunyikan kunci di tempat yang mudah ditebak seperti di bawah pasu bunga.

Untuk memberi gambaran rumah berpenghuni, anda disarankan memasang lampu dengan tetapan timer dan tidak berkongsi status ketiadaan anda di media sosial bagi mengelakkan sasaran penjenayah.

Maklumkan ketiadaan anda kepada jiran yang dipercayai atau pihak polis agar rondaan berkala dapat dilakukan.

Selain itu, elakkan meninggalkan barangan berharga seperti barang kemas atau wang tunai yang banyak di dalam rumah tanpa sistem keselamatan yang canggih.

Sebelum memulakan perjalanan, pastikan kenderaan telah diservis sepenuhnya untuk mengelakkan kerosakan enjin atau tayar di tengah jalan. Semasa memandu, disiplin diri adalah kunci utama.

  • Patuhi had laju dan jarak selamat antara kenderaan.
  • Gunakan tali pinggang keledar dan elakkan penggunaan telefon bimbit.
  • Jika mengantuk, berhenti rehat seketika di kawasan R&R.
  • Paling penting, bersabar dan elakkan memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan.

Dengan perancangan yang teliti, risiko kemalangan dan kecurian dapat dikurangkan, sekaligus membolehkan anda menikmati momen raya bersama keluarga dengan lebih bermakna.

Sumber: MKN