
Penyakit refluks gastroesofagus atau lebih dikenali sebagai GERD, adalah satu keadaan di mana asid perut melimpah kembali ke saluran esofagus.
Makanan yang disarakan untuk pesakit GERD

Keadaan ini sering menyebabkan ketidakselesaan seperti rasa pedih pada ulu hati (heartburn), kerap sendawa dan rasa perit di bahagian perut.
Bagaimanapun, terdapat beberapa cara yang boleh diamalkan dalam menu harian untuk mengurangkan dan mengawal GERD. Kaedah pertama adalah dengan pengambilan sayur-sayuran hijau dan berakar kerana tahap lemak dan gula yang sangat rendah.
Antara sayur yang disyorkan adalah brokoli, asparagus, timun, kacang hijau dan kentanng. Selain itu, halia yang terkenal dengan sifat antiradang dan alkalinya mampu menenangkan saluran pencernaan yang teriritasi.
Jika anda sering mengalami pedih ulu hati, amalkan pengambilan halia dalam rutin harian dengan cara menghiris nipis halia ke dalam masakan atau merendamnya dalam air panas untuk dijadikan teh yang menyegarkan.
Seterusnya, oat yang kaya dengan sumber serat dapat membantu melancarkan penghadaman dan menyerap asid perut berlebihan. Sumber karbohidrat seperti nasi dan roti juga selamat dimakan kerana ia mudah dicerna oleh sistem badan, sekaligus mengurangkan risiko refluks.
Selain itu, pilih makanan sumber protein seperti daging pejal (tanpa lemak) dan makanan laut, terutamanya ikan. Kandungan lemak yang rendah dalam ikan sangat membantu mengurangkan gejala GERD.
Elakkan makanan berlemak

Elakkan pengambilan buah-buahan masam (sitrus) seperti lemon, limau, dan oren kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan. Sebaliknya lebihkan buah-buahan yang kaya dengan serat dan tidak memedihkan perut seperti pisang, epal, pir dan tembikai.
Untuk penyediaan, elakkan menggoreng dengan minyak yang banyak sebaliknya gunakan teknik masakan seperti mengukus, membakar atau merebus.
Pesakit GERD disarankan untuk menukar lemak tepu kepada lemak tidak tepu yang lebih sihat. Sumber lemak sihat boleh didapati daripada minyak zaitun, minyak bunga matahari, kacang walnut, dan avokado. Bahan-bahan ini membekalkan tenaga tanpa membebankan sistem pencernaan anda.
Telur adalah sumber protein yang bagus, namun bahagian kuning telur perlu dihadkan kerana kandungan lemaknya yang tinggi boleh menjadi punca pedih ulu hati. Fokuskan pengambilan pada bahagian putih telur sahaja untuk pilihan yang lebih selamat.
Bagi mengelakkan keradangan esofagus dan pedih ulu hati menjadi lebih parah, terdapat beberapa jenis makanan yang wajib anda jauhi atau kurangkan pengambilannya antaranya hidangan yang terlalu pedas, makanan segera dan makanan yang diproses, keju dan produk tenusu penuh krim.
Selain itu, makanan lain yang menyebabkan pedih ulu hati seperti coklat atau gula-gula berperisa pudina (mint), minuman berkarbonat (gas), masakan berasaskan tomato (seperti sos pasta) dan semua jenis buah-buahan sitrus.
Dengan menjaga disiplin pemakanan ini, anda boleh mengurangkan kekerapan serangan GERD dan menjalani kehidupan yang lebih selesa.
Sumber: Hello Doktor








