
Pelakon baharu, Aydeel Idham memberitahu bapanya yang juga pengarah terkenal, Dr. Ahmad Idham ada berpesan supaya menamatkan pengajian di peringkat universiti terlebih dahulu sebelum dibenarkan menceburi bidang seni.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ahmad Idham Sanggup Berhabis RM200K Untuk Babak ‘Drift’ Filem Impak Maksima 2 – ‘Scene Itu Tidak Sampai Dua Minit’
Artikel Berkaitan: ‘Tiada Istilah Anak Emas’ – Nelissa Nizam
Perlu ada degree
Berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Seni Senimatik tahun lalu, Aydeel, 21, berkata, bapanya mahu dia menjadi seorang pelakon yang mempunyai ilmu dan tahap pendidikan tinggi.
Papa pesan, kalau nak masuk industri, nak jadi pelakon perlu ada pelajaran, sekurang-kurangnya degree. Alhamdulillah, saya sudah tamatkan degree di MMU (Multimedia University) dalam bidang Bachelor of Cinematic Arts.
Selepas tamat pengajian, barulah papa benarkan saya untuk ke depan dan mendalami lebih dalam bidang seni.
Sejak usia lapan tahun, sudah minat dengan dunia seni. Tambahan lagi saya dibesarkan dalam keluarga yang terlibat dengan bidang seni. Setiap hari dan minggu, saya akan lihat set penggambaran.
Aydeel berkata demikian ketika ditemui di set penggambaran filem Impak Maksima 2, di Serdang, baru-baru ini.
Bukan tiket mudah
Tambah Aydeel, meskipun sosok bapanya sudah tidak asing lagi dalam industri seni tanah air, namun itu bukan tiket mudah untuknya menempa nama.
Sebaliknya, Aydeel mahu bertatih sendiri dan bermula daripada bawah dengan melalui segala proses untuk bergelar pelakon.
Walaupun ayah saya sudah dikenali, tetapi saya lebih suka bermula daripada bawah. Pada saya, itu bukanlah jalan pintas untuk saya terjun ke dalam industri ini.
Saya masih lagi pergi menjalani ujibakat. Ayah saya juga menyarankan perkara yang sama supaya dapat kenal warna sebenar dalam industri.
Dalam pada itu, Aydeel turut berkongsi pengalaman pertama kali berlakon di bawah arahan bapanya sendiri menerusi filem Impak Maksima 2.
Jelas anak kedua daripada tiga adik beradik itu, tiada layanan istimewa diberikan meskipun dia mempunyia ‘cable’ besar. Malah, setiap teguran dalam nada tegas yang diterima adalah untuk menambahbaik mutu lakonan.
Ini merupakan kemunculan pertama saya dalam filem dan melakonkan naskhah arahan papa saya sendiri. Walaupun dia adalah bapa saya, layanannya terhadap kesemua pelakon tetap sama.
Papa seorang yang tegas dan garang di set penggambaran. Tiada layanan istimewa walaupun saya anak dia. Saya juga faham kehendaknya dan semua itu untuk kebaikan dan proses pembelajaran.
Selain Aydeel, Impak Maksima 2 yang bakal menemui penonton di pawagam pada 17 Julai depan turut dibintangi Zul Huzaimy, Datuk Seri Eizlan Yusof, Arfie Shah, Nelissa Nizam dan ramai lagi.