Bermula dengan drama pendek di YouTube, Syif Malam kini dihasilkan semula dalam format filem dengan judul sama dan bakal ditayangkan mulai 7 Disember depan.
Lokasi dan cerita berbeza
Menurut pengarahnya, Fairus Anuar, pada mulanya Syif Malam adalah drama pendek yang dihasilkan bersama rakan-rakan dan mendapat maklum balas positif daripada penonton.
Drama pendek Syif Malam yang dimuat naik di saluran YouTube Awan Nimbus sejak sembilan tahun lalu kini mencatat 1.6 juta tontonan.
Bercerita mengenai filem pertama arahannya ini, Fairus berkata, filem Syif Malam yang menampilkan lakonan Anas Ridzuan, Taqim Zaki, Shahkimin, Zera Hariz, Kamarul Eqifshah, Sobri Anuar, Riezman Khuzaimi, Ismeth dan Mili Supina itu menggabungkan elemen fiksyen seram dan komedi gelap yang sudah lama tidak disajikan dalam karya tempatan.
Filem terbitan Empire Film Solution dan Thinkerbell Studios Sdn Bhd ini diinspirasikan daripada masyarakat yang bekerja mencari rezeki pada waktu malam dan mereka selalu berhadapan gangguan yang menyeramkan serta menakutkan di tempat kerja.
Filem seram ini disampaikan dalam bentuk komedi gelap. Saya juga memasukkan elemen realisme bagi menghidupkan jalan cerita di mana ia memaparkan situasi pekerja yang terpaksa melayan kerenah birokrasi di pejabat ditambah lagi gangguan mistik pada waktu malam.
Mengekalkan konsep dan naratif yang sama dengan drama pendek terdahulu, cuma lokasi dan cerita berbeza. Saya juga mengekalkan seorang pelakon dari drama pendek itu cuma watak berbeza.
Sementara itu, penerbitnya, Mohamad Zubir Badar Shair berkata, idea menerbitkan Syif Malam timbul selepas menonton versi drama pendek di YouTube.
Menerusi drama pendek berdurasi 14 minit itu, saya lihat konsep dan jalan ceritanya cukup menarik dan menyeramkan. Kemudian timbul idea untuk dikembangkan pula menjadi sebuah filem, tambahan pula genre seram cukup digemari penonton.
Melihat sambutan orang ramai terhadap filem bergenre seram, Zubir yakin filem ini dapat menarik perhatian peminat.
Tidak dinafikan pasti ada segelintir daripada kita yang pernah berhadapan pengalaman seram ketika bekerja waktu malam. Mungkin juga apa yang dipaparkan dalam filem ini sama seperti yang pernah dilalui mereka yang mengalami situasi itu.