Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) atau Sindrom Ovari Polisistik merupakan gangguan hormon yang sering berlaku dalam kalangan wanita. 

Tanda, punca PCOS

Keadaan ini berpunca daripada ketidakseimbangan hormon, khususnya penghasilan hormon androgen yang berlebihan, selain dipengaruhi oleh faktor genetik, rintangan insulin serta radang gred rendah dalam tubuh. 

Lebihan insulin merangsang ovari untuk menghasilkan lebih banyak hormon androgen (hormon lelaki), sekali gus mengganggu proses kematangan telur.

Antara tanda PCOS yang boleh dikesan secara fizikal dan klinikal termasuk ovari yang membesar serta pembentukan banyak sista kecil berisi cecair, jerawat yang teruk. 

Seterusnya, pertumbuhan bulu roma berlebihan di kawasan seperti muka, dada, perut dan belakang badan, penipisan rambut di bahagian kepala serta perubahan suara menjadi lebih garau antara tanda seseorang menghidap PCOS.

Selain itu, pemeriksaan perubatan juga sering menunjukkan paras hormon androgen dan insulin yang lebih tinggi daripada normal.

Simptom PCOS pula merujuk kepada kesan yang dialami oleh penghidap dalam kehidupan seharian seperti kitaran haid yang tidak teratur, kesukaran untuk hamil, masalah berat badan yang sukar diturunkan walaupun pelbagai usaha dilakukan, serta gangguan emosi termasuk tekanan perasaan dan kemurungan. 

Jika tidak dikawal, keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit jangka panjang seperti diabetes jenis 2 dan masalah kardiovaskular.

Diagnosis PCOS lazimnya dibuat melalui pemeriksaan sejarah kesihatan, ujian darah serta imbasan pengimejan ovari, manakala rawatan tertumpu kepada pengurusan simptom mengikut keperluan individu. 

Penghidap yang mengalami tanda atau simptom PCOS disarankan mendapatkan nasihat pakar bagi memastikan rawatan yang tepat dan berkesan.

Sumber: Hello Doktor